DR ROLAND NAFI TAKUT-TAKUTKAN RAKYAT MALAYSIA UNTUK AMBIL VAKSIN PFIZER

24/09/2024 05:55 PM

SEPANG, 24 Sept (Bernama) -- Pengasas The KL Sky Clinic Dr Roland Victor, yang berdepan pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik berhubung vaksin COVID-19, menafikan bahawa beliau menakut-nakutkan rakyat Malaysia atau sesiapa daripada mengambil vaksin Pfizer Comirnaty.

Dr Roland, 42, berkata beliau juga tidak pernah menghalang orang awam atau penonton videonya (viewers) daripada menerima vaksin itu.

“Saya tiada niat untuk menakut-nakutkan sesiapa, tetapi harus diingat medicines is dangers. Sekiranya pesakit tidak tahu bagaimana cara menggunakan sesuatu ubat, ia boleh mendatangkan bahaya,” katanya.

Dr Roland berkata demikian ketika ditanya soalan tambahan peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada perbicaraan bela dirinya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Ahmad Zaidi: Adakah terdapat dalam mana-mana bahagian video terbabit Dr Roland memberitahu orang awam atau viewers (penonton video) jangan ambil vaksin Pfizer?

Dr Roland: Tidak.

Ahmad Zaidi: Jadi, apakah niat sebenar Dr Roland membuat video itu?

Dr Roland: Niat saya sejak membuat video-video kesihatan ini hanyalah untuk memberikan nasihat kesihatan kepada orang ramai supaya mereka faham dengan mudah medical knowledge (pengetahuan perubatan).

“Video ini adalah untuk memberi penerangan dan pendidikan kepada masyarakat agar memahami kebaikan serta kesan vaksin sebelum mereka menerima vaksin itu,” katanya yang turut mengakui seseorang pesakit atau manusia itu ada hak untuk memilih sama ada hendak atau enggan mengambil apa-apa vaksin.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Muhamad Amin.

Pada 21 Mac lepas, Ahmad Fuad memerintahkan Dr Roland membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 5 Julai 2021, beliau didakwa membuat dan memulakan hantaran video bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan laman profil Facebook The KL Sky Clinic pada 10.30 malam, 7 Feb 2021.

Dr Roland didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya serta berdepan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan. 

Perbicaraan bersambung 4 Nov ini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan