PESARA GURU RUGI RM138,800 AKIBAT 'PHONE SCAM'

25/09/2024 10:38 AM

SEREMBAN, 25 Sept (Bernama) -- Seorang pesara guru mengalami kerugian RM138,800 selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau phone scam pada 27 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata wanita berusia 68 tahun itu dihubungi seorang wanita menyamar pegawai dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan mangsa telah membuat pendaftaran ubah suai meter elektrik di kawasan Kuantan, Pahang.

Beliau berkata mangsa yang menafikan berbuat demikian kemudiannya disambungkan kepada ‘anggota polis’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK Pahang).

"Penyamar polis itu memberitahu telah menjumpai 200 kad pengenalan di Taman Tas, Kuantan termasuk kad pengenalan milik mangsa. 

"Mangsa menafikan hal berkenaan dan panggilan disambungkan kepada seorang lagi penyamar ASP Datuk Yusri Hasan Basri untuk semakan kewangan sebelum mangsa diminta membuat pindahan wang ke dalam akaun bank untuk memastikan wang simpanan pengadu bersih dan tidak terlibat dengan pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudiannya membuat pindahan wang secara berperingkat berjumlah keseluruhan RM138,800 ke dalam beberapa akaun. 

Hoo berkata selepas pembayaran dibuat pengadu masih lagi diganggu supaya membuat bayaran tambahan bagi urusan dokumentasi.

"Mangsa rasa curiga lalu berhubung dengan IPK Pahang untuk menanyakan permasalahan ini dan IPK Pahang menyatakan bahawa mangsa telah ditipu dan memintanya membuat laporan polis.

“Mangsa membuat laporan polis semalam untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan