KEPUTUSAN SAMA ADA NAJIB PERLU BELA DIRI KES 1MDB 30 OKT INI

03/10/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Keputusan sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan bagi mendapatkan RM2.3 bilion dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah yang sama perlu membela diri akan diputuskan pada 30 Okt ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar perbicaraan itu akan membuat keputusan sama ada untuk memerintahkan Najib membela diri, atau membebaskannya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang trelah melaksanakan penghujahan yang lengkap dan mendalam. Saya akan menyampaikan keputusan pada 30 Okt ini,” kata hakim Sequerah selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai menyampaikan hujah hari ini.

Hujahan di akhir kes pendakwaan bermula pada 19 Ogos, dan berlangsung selama 12 hari.

Najib, 71, berhadapan dengan empat pertuduhan menyalah guna kedudukannya bagi mendapatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sama ada lima lagi ganda nilai terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika disabit dengan kesalahan.

Bagi  21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Terdahulu peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahnya berkata tindakan Najib dalam kes ini lebih konsisten kepada perbuatan tidak bersalah.

"Malah dalam beberapa keadaan Yang Arif mungkin merasakan tindakan (Najib) lebih kepada perbuatan cuai, namun ia bukanlah perbuatan jenayah. Saya rayu kepada Yang Arif, bahawa ini adalah kes Yang Arif perlu membuat penilaian maksimum.

"Saya menggesa supaya anak guam saya tidak perlu dipanggil untuk membela diri. Yang Arif mesti melepas dan membebaskan Datuk Seri Najib daripada semua pertuduhan. Hujah kami mengenai pertuduhan itu adalah sangat kukuh dan Yang Arif perlu menimbangkannya," kata Muhammad Shafee.

Sepanjang peringkat penghujahan yang bermula pada 19 Ogos, pasukan pembelaan Najib yang diketuai Muhammad Shafee bersama Tania Scivetti dan Wan Azwan Aiman ​​Wan Fakhruddin, mengambil masa 11 setengah hari untuk membentangkan hujah mereka.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bersama Ahmad Akram Gharib di pihak hanya mengambil masa setengah hari untuk berhujah.

Najib pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 20 Sept 2018, dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2018. Perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.

Antara saksi utama yang dipanggil semasa perbicaraan termasuk bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan serta Pegawai Penyiasat SPRM Supt Kanan Nur Aida Ariffin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan