PERUNDING KECANTIKAN RUGI LEBIH RM480,000 TERPERDAYA 'JOB SCAM' DALAM TALIAN

03/10/2024 03:19 PM

TANGKAK, 3 Okt (Bernama) -- Seorang perunding kecantikan mengalami kerugian RM485,100 selepas mendakwa terperdaya dengan penipuan pekerjaan atau ‘job scam’ dalam talian, pada Julai lepas. 

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata wanita warga emas berusia 63 tahun itu menerima mesej supaya memuat naik aplikasi ‘We Sing’ dan seterusnya memuat naik video nyanyian bagi mendapat ganjaran berupa ‘gift’. 

Beliau berkata mangsa kemudiannya dihubungi seorang individu bernama ‘Jimmy’ dan mendakwa bahawa pemilik aplikasi itu telah ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jimmy telah menakutkan mangsa dengan mendakwa kononnya dia tidak membayar cukai pendapatan persendirian berjumlah hampir RM200,000 dan boleh ditahan oleh SPRM pada bila-bila masa. 

“Mangsa yang terperdaya dan takut dengan kata-kata Jimmy telah membuat beberapa pembayaran ke atas 19 akaun suspek melibatkan 64 transaksi melalui mesin deposit tunai (CDM) berjumlah RM485,100, bermula 10 Julai hingga 30 Sept (Isnin) lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Rosdi berkata mangsa menyedari telah ditipu selepas menceritakan mengenai perkara berkenaan kepada anaknya sebelum dia membuat laporan polis Selasa lepas.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan