LELAKI RUGI RM124,000 TERPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

04/10/2024 11:23 AM

JOHOR BAHRU, 4 Okt (Bernama) -- Lelaki warga tempatan kerugian RM124,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata mangsa berusia 47 tahun itu mendakwa skim pelaburan menggunakan aplikasi dikenali L-Trader menawarkan keuntungan lumayan mencecah jutaan ringgit.

Beliau berkata mangsa melihat iklan di laman Facebook pada Mei lepas dan modus operandi sindiket dengan memberikan mangsa satu ID yang membolehkannya memantau sendiri status pulangan pelaburan di aplikasi berkenaan.

"Pada awalnya, mangsa mendapat keuntungan hasil melabur sebanyak RM55,000 dan diyakinkan untuk menambah pelaburan hingga RM124,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang telah melakukan 21 transaksi wang secara dalam talian ke tiga akaun berbeza, menyedari telah ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM9 juta seperti dipaparkan di aplikasi berkenaan.

Yusof berkata mangsa telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan