JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KPDN Perak Terima Lapan Aduan Berkaitan Pelanggaran Peraturan Subsidi BUDI95

17/10/2025 12:02 PM

IPOH, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerima lapan aduan di sekitar negeri ini berhubung pelanggaran peraturan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata lima aduan telah diselesaikan sepenuhnya manakala tiga lagi aduan masih dalam peringkat untuk tindakan selanjutnya berkaitan manipulasi meter pam atau isian petrol yang kurang daripada biasa serta sistem yang digunakan.

"Kita (KPDN) telah melakukan pemeriksaan di stesen minyak terbabit dan mendapati liter (petrol) yang digunakan masih di bawah had selisih yang dibenarkan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kamalludin berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak yang menyalahgunakan kad pengenalan kepada warga asing untuk menikmati subsidi petrol BUDI95.

Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95 dengan kesemua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak menerima subsidi berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Kamalludin berkata pihaknya sentiasa memastikan bekalan makanan asas mencukupi sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula awal bulan depan.

"Sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang menyorokkan bekalan makanan dengan tujuan menaikkan harga, kita akan mengambil tindakan tegas," katanya.

Sebanyak 195 anggota penguat kuasa dan 72 pegawai pemantau harga melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi strategik sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025 yang bermula semalam hingga 22 Okt depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan