MELAKA, 18 Okt (Bernama) -- Fenomena kenaikan kerang di Pantai Klebang di sini melibatkan kerang semula jadi hasil pelaksanaan aktiviti tabur induk dilaksanakan Jabatan Perikanan Melaka pada 2023, kata Pengarah Perikanan negeri Saufi Affandi Talib.
Beliau berkata aktiviti itu dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri menerusi projek pembenihan aruhan kerang di perairan Melaka sebagai usaha membangunkan dan memperkukuh sumber perikanan.
Beliau berkata berdasarkan pemantauan Jabatan Perikanan dari 15 Okt hingga semalam, fenomena itu melibatkan anggaran pendaratan kerang sebanyak 22.5 tan metrik sekali gus menarik kehadiran kira-kira 500 orang sehari ke pantai itu.
“Aktiviti tabur induk kerang dijalankan pada 30 Mei 2023 di perairan Melaka dan benih yang dilepaskan didapati telah bergerak dan menetap secara semula jadi di kawasan utara (sekitar perairan Klebang) dan selatan (sekitar perairan Merlimau).
“Struktur tambak laut berbentuk teluk di kawasan Pantai Klebang menyebabkan arus laut membawa dan menumpukan benih kerang berkenaan ke kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Saufi Affandi berkata hasil kajian oseanografi dan proses pantai oleh Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak menunjukkan arah pergerakan arus semasa air pasang menghala ke utara (324°) dari lokasi penaburan induk dipercayai membantu menyebarkan benih kerang dari kawasan asal ke perairan Klebang.
Selain itu, kajian susulan dari 10 hingga 13 Ogos turut mengesahkan majoriti sampel yang dikutip di kawasan Klebang terdiri daripada kerang semula jadi iaitu benih membesar di lokasi sama hingga dewasa.
Saufi Affandi berkata memandangkan kawasan itu sebagai pembenihan kerang tidak diketahui umum, kepadatan benih hasil laut itu meningkat setiap tahun sehingga menyebabkan fenomena “pesta kerang” berlaku ketika ini.
Berdasarkan pemerhatian, kawasan itu juga mempunyai ciri habitat yang sangat sesuai untuk pembangunan kawasan pembiakan kerang secara semula jadi pada masa hadapan.
“Kerang di kawasan itu mempunyai warna cangkerang lebih cerah berbanding kerang di perairan Johor yang kelihatan lebih perang dan gelap,” katanya.
Saufi Affandi berkata Jabatan Perikanan juga sedang menjalankan ujian kualiti air dan keselamatan biotoksin terhadap hasil laut itu.
Beliau menasihatkan orang awam untuk mengutamakan keselamatan di kawasan pantai dan mematuhi garis panduan ditetapkan bagi memastikan sumber laut itu dapat dikekalkan dan dimanfaatkan secara lestari.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang Datuk Lim Ban Hong menasihatkan ibu bapa yang mengutip kerang tidak membawa anak-anak kecil demi keselamatan mereka, selain perlu peka dengan pasang surut laut.
“Saya meninjau kawasan pantai itu dan melihat ramai ibu bapa membawa anak kecil. Tindakan itu agak membimbangkan kerana melibatkan kawasan berselut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial