KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24/7 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan langkah penting bagi memperkukuh perlindungan sosial pekerja, sejajar perubahan corak kerja masa kini yang mengutamakan pendekatan hibrid dan aturan kerja anjal.
PERKESO dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelaksanaan skim itu berupaya menutup kelompangan sedia ada dalam sistem perlindungan sosial, susulan statistik bagi tempoh 2023 hingga September tahun ini yang merekodkan sebanyak 11,851 kes tuntutan pencarum ditolak kerana ditakrifkan sebagai bukan bencana kerja.
“Sehubungan itu, wujud keperluan mendesak ke arah penyediaan satu skim baharu yang memberi perlindungan 24 jam sehari kepada pekerja tempatan dan pekerja asing di Malaysia.
“Melalui LINDUNG 24/7, pekerja akan menikmati jaringan keselamatan sosial secara menyeluruh, termasuk bagi kes kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja, berbeza dengan skim terdahulu yang hanya melibatkan insiden berkaitan pekerjaan,” menurut kenyataan itu.
PERKESO menjelaskan, langkah strategik berkenaan sejajar dengan perubahan waktu dan corak kerja daripada konsep konvensional kepada pendekatan hibrid masa kini, selain menangani jurang perlindungan sosial dalam sistem sedia ada.
Menerusi pelaksanaan skim terbaharu itu, lebih 9.6 juta pencarum aktif di bawah program LINDUNG Pekerja bakal menerima manfaat, sekali gus memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja di Malaysia dan meletakkannya setaraf dengan amalan antarabangsa.
“Langkah ini menandakan satu lagi transformasi penting dalam sejarah perlindungan sosial negara di bawah seliaan PERKESO, selaras dengan prinsip perlindungan sosial yang inklusif dan menyeluruh,” menurut kenyataan itu.
PERKESO turut menjangka pelaksanaan LINDUNG 24/7 dapat mengurangkan tekanan kewangan terhadap sistem kesihatan awam negara memandangkan agensi itu akan menanggung pembiayaan rawatan serta pemulihan pencarum yang terlibat.
Di bawah skim ini, pekerja yang layak akan menerima pelbagai faedah termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim ketika membentangkan bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam menyifatkan skim berkenaan sebagai inisiatif penting kerajaan bagi memastikan kesejahteraan semua pekerja di Malaysia terus terpelihara.
Menurut kenyataan itu, bacaan kedua dan ketiga bagi pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember tahun ini untuk dibahaskan.
LINDUNG merupakan penjenamaan semula skim perlindungan keselamatan sosial PERKESO yang dilancarkan pada 22 Ogos 2025, sebagai langkah strategik memperkukuh peranan agensi itu dalam melindungi rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial