MELAKA, 6 Nov (Bernama) -- Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analisis data raya kini menjadi pemangkin utama kepada inovasi serta integrasi serantau dalam memperkukuh pengurusan statistik dan data di Malaysia serta negara-negara ASEAN.
Ketua Perangkawan Datuk Dr Mohd Uzir Mahidin berkata selaku negara rujukan utama dalam bidang statistik terutama di peringkat ASEAN, pendekatan berasaskan data pintar itu amat penting bagi memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan mengambil kira kesejahteraan rakyat di semua peringkat.
“Jika dahulu kita banyak bergantung kepada angka makro atau purata, kini tumpuan kita adalah kepada statistik yang lebih inklusif iaitu data yang dapat menggambarkan realiti kehidupan rakyat di mana jua mereka berada atau peringkat sosioekonomi,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Perasmian Forum Statistik ASEAN-Malaysia 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Jabatan Perangkaan Malaysia ke-75 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.
Mohd Uzir berkata integrasi AI dalam sistem statistik negara bukan sahaja meningkatkan kecekapan kerja, malah membolehkan setiap keputusan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan tepat selaras dengan kehendak dunia yang bergerak pantas.
Beliau berkata penggunaan teknologi seperti imej satelit, penderia jauh dan analisis telefon bimbit kini membantu mengurangkan kebergantungan kepada kaedah konvensional seperti pengumpulan data lapangan dari rumah ke rumah.
“Sebagai contoh, dalam sektor pelancongan kita boleh memanfaatkan data daripada pergerakan telefon bimbit untuk mengenal pasti lokasi tumpuan pelancong dan menyesuaikan promosi dengan minat mereka. Dalam sektor pertanian pula, imej satelit dan AI boleh menilai kawasan tanaman tanpa perlu menghantar pasukan ke lapangan,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata teknologi tidak mampu menggantikan sepenuhnya kaedah pengumpulan data tradisional memandangkan ia menyediakan garis panduan asas yang boleh dikemas kini secara berterusan menggunakan maklumat terkini.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata pengiktirafan Malaysia di peringkat serantau dan global sebagai negara peneraju dalam penghasilan data berkualiti dan mudah diakses membuktikan komitmen Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terhadap ketelusan dan kebolehpercayaan data yang dihasilkan.
Beliau berkata untuk itu, DOSM telah membangunkan Platform Akademi Maya sebagai ruang latihan dan perkongsian amalan terbaik sesama negara ASEAN sebagai usaha memperkukuh kapasiti penghasilan data berkualiti.
“Melalui platform ini, kita berkongsi kepakaran dan pengalaman supaya negara lain tidak perlu bermula daripada kosong. Sebagai contoh, baru-baru ini lebih 20 pegawai dari Laos termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi menghadiri latihan di Malaysia untuk mempelajari sistem statistik negara,” katanya.
Beliau berkata usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang statistik dan data amat penting bagi mengurangkan jurang pembangunan, selaras dengan konsep ‘memakmurkan jiran’ kerana kemajuan negara jiran turut membawa manfaat kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhan rantau ASEAN.
“Kita tidak mahu wujud jurang yang terlalu jauh antara negara kerana kemajuan serantau hanya boleh dicapai apabila semua pihak berkembang bersama,” katanya.
Beliau berkata Malaysia dan ASEAN kini sedang melaksanakan Papan Pemuka Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu papan pemuka pembangunan mampan serantau yang membolehkan pelbagai pihak menilai kemajuan sosioekonomi, kemiskinan dan kelestarian secara bersama.
“Melalui papan pemuka ini, bukan sahaja pejabat statistik tetapi kementerian, agensi serta masyarakat umum boleh menilai kekuatan dan cabaran semasa, sekali gus membantu merangka dasar yang lebih inklusif dan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri yakin data yang tepat mampu melahirkan dasar tepat dan membawa kepada kesejahteraan negara.
“Peranan statistik amat penting dalam mana-mana kerajaan untuk merancang dan merangka masa depan dan Melaka menggunakan data-data ini sebagai kompas dalam membina hala tuju pentadbiran negeri agar fokus sasaran kita tepat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial