JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Tragedi Gaza Dedah Keruntuhan Moral Manusia - Sarjana

06/11/2025 06:42 PM

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Pembunuhan beramai-ramai atau genosid di Gaza menjadi ujian moral paling menyakitkan buat dunia, mendedahkan kegagalan manusia untuk menegakkan keadilan dan belas kasihan, kata penganalisis geopolitik dan sarjana Profesor Dr Hisham A. Hellyer.

Ketika menyampaikan syarahan diraja bertajuk Adab as Moral Compass: From Principle to Practice in Our Troubled World pada Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025, di sini hari ini, beliau berkata Gaza bukan sekadar krisis geopolitik, tetapi bencana rohani dan kemanusiaan yang menuntut tanggungjawab moral daripada mereka yang mengaku menghargai maruah manusia.

"Sebagai orang Barat, saya memikirkan tentang Gaza, dengan satu daripada sekutu Barat – Israel – memberi kita ujian paling menyakitkan sama ada prinsip kita benar-benar bermakna," kata Felow Bersekutu Kanan di Royal United Services Institute for Defence and Security Studies itu yang berpangkalan di United Kingdom.

Hisham berkata Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah mendapati wujud kes genosid yang munasabah, manakala pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendokumentasikan pelanggaran sistematik terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Lebih 60,000 nyawa telah terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Hospital, universiti, sekolah dan kem pelarian ialah institusi yang sepatutnya melambangkan komitmen manusia terhadap pemulihan dan pembelajaran, kini telah musnah menjadi runtuhan," katanya.

Beliau menggambarkan tragedi itu bukan sahaja sebagai pergolakan politik dan kemanusiaan, tetapi juga sebagai keruntuhan moral yang melibatkan seluruh masyarakat dunia.

Menyifatkan kemusnahan terbabit sebagai pengkhianatan moral terhadap amanah suci manusia, Hisham berkata tragedi di Gaza itu mencerminkan krisis jiwa yang lebih dalam apabila ilmu, inovasi dan kuasa disalahgunakan untuk menindas dan bukannya untuk berkhidmat.

"Apabila kita menggunakan ilmu untuk mencipta senjata pemusnah besar-besaran dan bukannya alat untuk kemajuan manusia, apabila kita menggunakan kuasa untuk menguasai berbanding memberikan perkhidmatan, kita telah lupa erti menjadi khalifah," katanya.

Hisham turut menegaskan bahawa pendidikan dan inovasi mesti berpandukan adab, disiplin moral yang memastikan segala-galanya diberi tempat yang sewajarnya supaya kemajuan tidak mengorbankan hati nurani.

"Adab menuntut kita menyedari bahawa teknologi tidak pernah neutral. Setiap algoritma mengandungi nilai. Setiap sistem mencerminkan keutamaan penciptanya. Setiap aplikasi memenuhi beberapa kepentingan sambil mungkin menjejaskan orang lain.

"Tanggungjawab kita sebagai pendidik, cendekiawan, dan guru adalah untuk memastikan inovasi yang kita hasilkan menyokong keadilan, bukannya penindasan; maruah, bukannya penguasaan; kehidupan bukannya kematian," katanya.

Sementara itu, Prof Madya di National University of Singapore Dr Khairudin Aljunied berkata sarjana dan golongan intelektual Islam di Asia Tenggara perlu menghidupkan semula semangat aktivisme sarjana untuk berhadapan dengan cabaran serantau dan global yang melangkaui batas keagamaan.

Menerusi syarahan diraja bertajuk The Future of Muslim Scholar-Activism in Southeast Asia, beliau berkata gerakan aktivisme sarjana Muslim di rantau ini semakin lemah akibat parokialisme (fahaman sempit), kedangkalan dan dogmatisme, yang menurutnya trend ini telah menghakis kekuatan intelektual yang suatu ketika dahulu menjadi tonggak dunia Islam.

"Ali Allawi dalam bukunya yang diterbitkan oleh Yale University Press bertajuk The Crisis of Islamic Civilization, menjelaskan bahawa gerakan sarjana–aktivis di seluruh dunia kini tenggelam dalam kepentingan peribadi, politik dan etnik, serta tidak lagi menumpukan kepada isu sistemik yang menjejaskan seluruh umat manusia.

"Isu yang cuba beliau (Ali Allawi) cuba sampaikan di sini ialah orang Islam hanya menumpukan soal dalaman semata-mata, oleh sebab itu masyarakat di Asia Tenggara terperangkap di bawah pemerintahan ideologi berbanding pemerintahan idea," katanya.

Khairudin turut menzahirkan kebimbangan bahawa sarjana moden semakin bergantung pada yang disebut beliau sebagai "Profesor ChatGPT dan Sheikh Google", memberikan amaran bahawa kebergantungan pada kecerdasan buatan (AI) telah menggantikan budaya pengajian dan refleksi yang mendalam.

"Zaman para sarjana di Asia Tenggara seperti Sheikh Sumatrani, Sheikh Palimbani dan sebagainya yang menghabiskan masa bertahun-tahun membaca, menulis dan menyelidik isu-isu masyarakat telah berlalu. Yang kita ada sekarang ialah sarjana dan aktivis yang bukan sahaja bersifat dangkal, tetapi juga menggunakan AI untuk membina imej dan pesona keilmuan palsu," katanya.

Beliau optimis bahawa generasi baharu golongan sarjana dan aktivis di Asia Tenggara akan muncul, berakar umbi pada adab, digerakkan oleh tanggungjawab dan diinspirasikan oleh semangat kebangkitan.

"Masa depan aktivisme sarjana di Asia Tenggara adalah cerah, malah akan lebih cerah apabila kita menyedari keperluan untuk perubahan, kebangkitan, tanggungjawab dan rasa hormat antara satu sama lain," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan