MELAKA, 12 Nov (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkukuh jaringan antarabangsa dan memperluas perkongsian kepakaran penyelidikan serta inovasi dengan memeterai kerjasama strategik bersama enam institusi pengajian tinggi (IPT) Rusia, semalam.
Majlis menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) dan dua surat niat (LoI) itu disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia Valery Falkov, sempena Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) ke-4 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Kedah.
UTeM menandatangani empat MoU bersama National Research Nuclear University (MEPhI), Moscow Aviation Institute (MAI), Russian Biotechnology University (Rosbiotech) dan Far Eastern Federal University (FEFU) manakala dua LoI bersama Grozny State Oil Technical University (GSTOU) dan Peoples’ Friendship University of Russia.
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata usaha itu membuktikan komitmen universiti berkenaan dalam memperluaskan kerjasama strategik serta perkongsian kepakaran inovasi merentas sempadan global.
Beliau berkata MoU dengan MEPhI memberi tumpuan kepada pengukuhan penyelidikan, inovasi dan pertukaran akademik dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan sistem pintar.
“Kerjasama dengan MAI pula fokus kepada pembangunan bidang kejuruteraan mekanikal menerusi pertukaran akademik, penyelidikan dan inovasi, manakala dengan Rosbiotech menumpukan kepada penyelidikan serta inovasi dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan bahan termaju bertaraf dunia.
“MoU dengan FEFU pula melibatkan pengukuhan akademik dan penyelidikan melalui program mobiliti pelajar, projek penyelidikan bersama, pertukaran sabatikal untuk petugas akademik serta pelbagai inisiatif bersama,” katanya dalam satu kenyataan di hari ini.
Mengulas lanjut, Massila berkata kerjasama itu diyakini dapat mengukuhkan kapasiti saintifik antara kedua-dua negara, menggalakkan kecemerlangan penyelidikan rentas institusi dan memupuk pemindahan pengetahuan.
Beliau berkata LoI yang dimeterai dengan GSTOU dan Peoples’ Friendship University of Russia pula merangkumi pertukaran petugas serta pelajar, latihan industri dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, projek pengajaran serta penyelidikan bersama selain penganjuran seminar dan bengkel saintifik.
“UTeM terus komited memastikan keberhasilan kerjasama global yang memberi impak terhadap kecemerlangan akademik dan inovasi universiti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial