JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Tiga Kanser Paling Kerap Dihidapi Lelaki, Boleh Dicegah Dengan Pengesanan Awal

13/11/2025 09:26 AM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kaum lelaki di Malaysia berdepan peningkatan ancaman kanser,  dengan amalan gaya hidup dikenal pasti sebagai penyumbang utama risiko kanser kolorektal, paru-paru dan prostat, menurut pakar kesihatan di Sunway Medical Centre Velocity (SMCV).

Walaupun faktor genetik memainkan peranan utama, Pakar Perunding Ongkologi dari SMCV Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkata pilihan gaya hidup kekal sebagai faktor penyumbang terbesar memandangkan hanya kira-kira lima peratus ia berpunca daripada keturunan. 

“Ini bermakna bagi kebanyakan kes, tabiat harian seperti apa yang kita makan, tahap aktiviti fizikal dan komitmen terhadap saringan kesihatan memberi kesan paling besar,” katanya dalam kenyataan kepada  Bernama.

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, risiko seumur hidup bagi lelaki Malaysia menghidap kanser meningkat daripada satu dalam 10 orang kepada satu dalam lapan orang, dengan kanser kolorektal, paru-paru dan prostat mendahului senarai. 

Gaya hidup moden yang serba pantas mendorong kepada tabiat yang secara senyap menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang. Duduk terlalu lama, kebergantungan kepada makanan proses dan kurang aktiviti fizikal menyumbang kepada obesiti, yang seterusnya menyebabkan keradangan kronik dan peningkatan paras insulin dalam badan. 

Dr Hafizah Zaharah berkata perubahan itu boleh merosakkan sel, mengganggu keseimbangan hormon dan mewujudkan keadaan yang menggalakkan pertumbuhan tumor, selain diet yang tinggi makanan proses dan lemak tepu turut meningkatkan risiko kanser, diburukkan lagi dengan kesan daripada kurang aktiviti fizikal.

“Selain itu, corak kesihatan senyap ini masih berterusan tanpa banyak diberi perhatian kerana golongan lelaki sering mengabaikan simptom awal atau menganggap ia akan pulih dengan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Perunding Urologi SMCV Dr Goh Cheng Hood menjelaskan keengganan untuk bertindak lebih awal selalunya berpunca daripada stigma sosial dan bukannya kurang kesedaran kerana ramai lelaki mengaitkan rundingan perubatan dengan kelemahan atau rasa malu, terutama apabila melibatkan topik sensitif seperti kesihatan berkaitan air kencing atau reproduktif.

“Sesetengah lelaki beranggapan bahawa dengan mendapatkan bantuan seolah-olah memperlihatkan mereka seorang yang lemah atau 'tidak jantan', jadi mereka mengabaikan simptom hingga ia menjadi terlalu serius untuk dirawat.

“Apabila mereka datang berjumpa kami penyakit selalunya sudah di peringkat lewat, yang membuatkan pilihan rawatan terhad dan mengurangkan peluang untuk sembuh sepenuhnya. Oleh itu, jangan berasa malu untuk tampil dan mendapatkan rawatan perubatan kerana pengesanan dan rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa anda,” katanya.

Kesan jangka masa panjang akibat kelewatan mendapatkan rawatan boleh dilihat pada tiga jenis kanser paling kerap dihidapi lelaki Malaysia iaitu kolorektal, paru-paru dan prostat. Kanser kolorektal boleh bermula sebagai ketumbuhan kecil dipanggil polip pada lapisan usus besar dan dalam tempoh 5-10 tahun, sebahagian polip tesebut boleh berubah menjadi kanser.

Selain itu, Dr Hafizah berkata corak pemakanan yang kurang serat, kerap mengambil daging merah dan diproses, serta kurang aktiviti fizikal meningkatkan risiko namun pencegahan boleh dilakukan melalui saringan kesihatan berkala dan amalan pemakanan yang sihat.

Beliau menjelaskan prosedur kolonoskopi boleh mengesan kanser pada peringkat awal sekali gus meningkatkan peluang untuk sembuh dengan lebih baik, dan walaupun saringan awal sangat penting, pencegahan sebenarnya adalah bermula dengan pemilihan pemakanan serta gaya hidup yang sihat.

“Semakan sistematik berdasarkan Panduan Amalan Klinikal ( CPG) bagi kanser kolorektal menunjukkan bahawa peningkatan pengambilan 100 gram daging merah dan 25 gram daging proses dalam sehari merupakan faktor risiko. Oleh itu, kurang atau tidak mengambil daging merah boleh menurunkan risiko menghidap kanser kolorektal,” katanya sambil menambah tabiat merokok turut menyumbang kepada peningkatan risiko sebanyak 16 peratus untuk mendapat kanser tersebut berbanding individu yang tidak merokok.

Tabiat sama yang menjejaskan kesihatan pencernaan juga memberi kesan kepada paru-paru, terutamanya merokok yang mendedahkan tubuh kepada ribuan kimia karsinogenik yang merosakkan DNA dan mencetuskan keradangan kronik. Dari semasa ke semasa, perubahan ini meningkatkan kebarangkalian untuk mendapat kanser paru-paru, yang kekal sebagai satu daripada kanser paling berbahaya dalam kalangan lelaki.

“Banyak pesakit cenderung mengabaikan simptom awal seperti batuk atau keletihan hinggalah penyakit mencapai peringkat akhir, dengan 95.4 peratus kes kanser paru-paru dikesan lewat menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysian2017-2021,” kata Dr Hafizah.

Bagi kanser prostat pula, tahap kesedaran masih rendah dan kebanyakan kes hanya dikesan selepas simptom muncul. Kanser ini selalunya berkembang secara perlahan dan boleh menyerupai simptom benign prostatic hyperplasia (BPH) atau pembesaran prostat seperti kesukaran membuang air kecil, aliran air kencing lemah, atau kerap kencing, menyebabkan lelaki mengabaikan tanda-tanda awal kerana menyangka ia tidak serius.

Dr Goh menjelaskan kanser prostat lebih kerap didiagnosis dalam kalangan lelaki berusia lebih 58 tahun dan mereka yang mengambil suplemen testosteron berdepan risiko lebih tinggi.

“Pada peringkat awal, kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom dan biasanya hanya datang mendapatkan rawatan apabila kanser telah merebak, dan ketika itu mereka mengadu sakit tulang atau mengalami simptom neurologi apabila tiba di hospital,” katanya.

Beliau mengesyorkan supaya ujian Prostate-Specific Antigen (PSA) dilakukan bermula pada usia 50 tahun atau seawal 40 tahun bagi individu berisiko tinggi, seperti mereka yang mengambil suplemen testosteron, mempunyai sejarah keluarga penyakit tersebut atau pembawa gen BRCA2.

“Saringan ujian darah PSA membantu kami untuk mengenal pasti risiko lebih lama sebelum simptom muncul sekali gus membolehkan kami memantau perubahan beransur-ansur pada paras PSA dan menentukan sama ada pemeriksaan lanjut seperti imbasan tomografi berkomputer (CT) atau pengimejan resonans magnetik (MRI) diperlukan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa walaupun saringan memainkan peranan penting, diagnosis awal dan rawatan tepat pada masa tetap menjadi kunci untuk meningkatkan kadar kelangsungan dan kualiti hidup, serta memanjangkan jangka hayat hingga 15 tahun bagi kira-kira 95 peratus kes yang dikesan pada peringkat awal.

Walaupun risiko kanser meningkat seiring usia, banyak puncanya masih boleh dikawal. Kedua-dua pakar tersebut menegaskan bahawa pencegahan mesti bermula dengan tabiat kecil yang mampan seperti mengekalkan diet seimbang dengan lebih banyak pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh, selain mengurangkan makanan diproses dan daging merah bagi membantu mengurangkan keradangan serta menyokong fungsi tubuh yang sihat.

“Mengelakkan tabiat merokok dan mengehadkan pengambilan alkohol juga membantu tubuh membaiki kerosakan DNA dengan lebih berkesan. Pilihan gaya hidup sihat yang diamalkan secara konsisten dari semasa ke semasa dapat melindungi tubuh daripada perkembangan kanser.

“Malah langkah mudah seperti kekal terhidrat, tidur cukup, bersenam dan mengurus tekanan dengan baik boleh membawa perubahan kepada kesihatan secara keseluruhan,” kata Dr Hafizah sambil menekankan bahawa aktiviti senaman boleh mengurangkan keradangan yang berpotensi membantu mencegah kanser.

Sementara itu, tambah Dr Goh kesedaran perlu seiring dengan saringan berkala, serta menggalakkan kaum lelaki menjalani saringan kesihatan setiap tahun merangkumi tekanan darah, kolesterol, glukosa, indeks jisim badan (BMI) serta ujian penandaan kanser, selain saringan kanser seperti seperti kolonoskopi setiap 10 tahun sekali bermula pada usia 45 tahun, dan imbasan CT dos rendah bagi perokok jangka panjang untuk mengesan sebarang kelainan sebelum simptom muncul.

“Kaum lelaki tidak harus menunggu hingga sakit atau berasa tidak selesa baru bertindak,” kata Dr Goh, sambil menambah pengesanan awal menjadikan rawatan lebih mudah, sembuh lebih cepat dan hasilnya jauh lebih baik.

-- BERNAMA

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan