JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Belanjawan Johor 2026: Elaun Ketua Kampung, Tok Batin, Guru KAFA Dinaikkan

13/11/2025 11:46 AM

ISKANDAR PUTERI, 13 Nov (Bernama) -- Kenaikan elaun untuk ketua kampung dan tok batin Orang Asli serta guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) merupakan antara 35 inisiatif bagi memacu dan mentransformasi tadbir urus negeri yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2026.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata elaun ketua kampung dan tok batin Orang Asli dinaikkan sebanyak RM300 sebulan daripada RM1,200 kepada RM1,500 bermula pada Januari tahun depan dengan tambahan peruntukan RM2.6 juta.

Beliau berkata kenaikan elaun guru KAFA pula daripada RM1,612 kepada RM1,762 sebulan dengan peruntukan RM5.92 juta dan melibatkan sebanyak 2,150 orang guru.

“Selain itu, bantuan one-off untuk bilik guru kepada lebih 54,000 orang guru di 1,780 buah sekolah termasuk sekolah agama kerajaan dengan peruntukan RM8.9 juta.

“Sebanyak RM10 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan program dengan kerjasama universiti terkemuka dunia termasuk Universiti Oxford, Harvard, Standford dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata Majlis Kecerdasan Buatan (AI) Johor turut diwujudkan yang berperanan menjadikan negeri itu sebagai hab AI dan data serantau menjelang 2030, selain memperuntukkan RM774,000 bagi pelaksanaan Program Klinik Kaunseling.

Beliau berkata inisiatif-inisiatif yang diumumkan diyakini dapat memperkukuh tadbir urus serta memacu transformasi menyeluruh dalam menjadikan negeri itu maju, sekali gus memastikan rakyat menerima manfaat secara berterusan.

Langkah itu katanya, bukan sekadar pelaksanaan dasar biasa, tetapi satu gerakan holistik yang memastikan setiap dasar diterjemah dan hasil negeri diurus secara berhemat serta meneguhkan kepercayaan rakyat.

“Setiap inisiatif ini ialah bukti bahawa Johor bergerak pantas bukan sekadar untuk pembangunan fizikal, tetapi juga membina budaya profesionalisme, solidariti dan inovasi untuk semua,” katanya.

Onn Hafiz hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.546 bilion yang meningkat berbanding RM1.999 bilion tahun lepas dengan menumpukan usaha menjamin kebajikan, kesejahteraan Bangsa Johor serta mengukuhkan kedudukan fiskal negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan