JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

37 Pegawai, Anggota PDRM Tamatkan Kursus Asas Terjun Dan Ramp Air

13/11/2025 01:46 PM

TAIPING, 13 Nov (Bernama) -- Sebanyak 37 pegawai kanan dan anggota pelbagai pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menamatkan dua siri kursus taktikal payung terjun dan ramp air anjuran Cawangan Latihan Para 69 Komando hari ini.

Kursus Taktikal Payung Terjun Pegawai Kanan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Siri 2/2025 itu disertai oleh 17 pegawai kanan dan enam pegawai rendah polis (PRP) bermula dari 15 Okt hingga 13 Nov.

Kursus Ramp Air Pegawai Kanan Polis Jabatan KDNKA Siri 2/2025 pula disertai oleh 14 pegawai kanan berpangkat Inspektor hingga Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) bermula dari 30 Okt hingga hari ini di Lapangan Terbang Tekah. 

Majlis penutupan disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah KDNKA (Kepolisan Am), SAC Anuar Rosdi yang turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua peserta kerana berjaya menamatkan latihan yang dikendalikan oleh Unit 69 Komando dengan cemerlang.

Anuar dalam ucapannya berkata kejayaan peserta menamatkan kursus membuktikan keupayaan mereka menempuhi pelbagai ujian lasak yang menuntut ketahanan fizikal dan mental luar biasa, selain semangat juang serta disiplin tinggi.

“Saya berharap Cawangan Latihan Para 69 Komando akan terus berkembang dan menjadi pusat latihan payung terjun unggul pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya. 

Komander 69 Komando SAC Hamzah Hashim dan Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai turut hadir ke majlis itu.

Anuar berkata kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan dalam setiap latihan yang dijalankan perlu diutamakan, sejajar dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) yang menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Ketua Polis Negara selaku majikan.

“Kemalangan dapat dielakkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) latihan dan peraturan keselamatan yang telah ditetapkan.

"Slogan ‘Lalai Sesaat Derita Seumur Hidup’ amat tepat bagi kemahiran seperti payung terjun agar tiada kesilapan berlaku sepanjang latihan atau kursus dijalankan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Gerakan Udara (PGU) atas kerjasama berterusan dalam menjayakan operasi dan latihan penghantaran udara, termasuk penyediaan pesawat serta bahan api.

Kemuncak majlis penutupan ialah pemakaian insignia sayap penerjunan kehormat oleh Anuar kepada 23 pegawai dan anggota polis sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen dan sumbangan mereka dalam memperkukuh keupayaan taktikal pasukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan