PADANG BESAR, 13 Nov (Bernama) -- Sebuah bangunan lapan bilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit dekat sini musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran pagi tadi, yang turut menyebabkan seorang pekerja kebersihan swasta cedera melecur 30 peratus.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis PgKB II Mohamad Azhar Yussof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.05 pagi sebelum tiba di lokasi kira-kira 13 minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan bangunan sekolah yang mempunyai lapan bilik termasuk stor, bilik seni, bilik reka bentuk dan teknologi (RBT) serta bilik kesihatan. Api dipercayai bermula dari bilik stor sebelum merebak ke bilik lain bersebelahan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Mohamad Azhar berkata operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba Padang Besar, Kangar dan Arau serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dengan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.
“Operasi sedikit sukar pada peringkat awal kerana sumber air terhad dan pili bomba berhampiran tidak berfungsi, menyebabkan pasukan terpaksa menggunakan air dari kolam berdekatan sebelum bantuan tangki tiba,” katanya yang turut memaklumkan punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.
Beliau berkata pekerja kebersihan yang merupakan lelaki berusia 29 tahun itu melecur pada bahagian belakang paha namun mangsa dalam keadaan stabil dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata kesemua 192 murid dan 18 guru sekolah tersebut selamat dan telah dipindahkan ke dewan sebaik sahaja kebakaran dikesan.
“Bangunan yang terbakar ini sebenarnya dirancang untuk dinaik taraf sebagai blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pada tahun depan tetapi disebabkan kejadian ini, kita akan menilai semula keperluan untuk menyediakan kemudahan yang lebih kondusif,” katanya.
Rose Aza berkata sekolah akan beroperasi seperti biasa esok memandangkan bilik darjah tidak terjejas dengan kebakaran, selain turut merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba yang bertindak pantas memadamkan kebakaran serta memastikan keselamatan warga sekolah terjamin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial