JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Lebuhraya Pan Borneo Kian Jadi Realiti Demi Kesejahteraan Rakyat Sabah

24/11/2025 03:34 PM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah, yang kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan di beberapa pakej kerja utama, merupakan bukti jelas usaha gigih Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan jalan raya terbaik di negeri itu. 

Projek itu, yang sebelum ini dilihat sebagai mimpi buruk kerana berdepan pelbagai kelewatan, kini bertukar menjadi berita gembira apabila setakat Oktober lepas, Fasa 1 LPB telah siap sebanyak 84.2 peratus dalam usaha menyediakan laluan yang lebih selamat, moden dan efisien untuk rakyat Sabah.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, yang amat prihatin dengan kesejahteraan rakyat Sabah, sebelum ini berkata Fasa 1 yang melibatkan laluan sepanjang 706 kilometer (km) dijangka siap pada 2029 dan bakal mempercepat kesalinghubungan antara daerah dan memacu pertumbuhan ekonomi Sabah dengan lebih ketara. 

Perkembangan terkini pula menyaksikan tiga pakej kerja utama yang membentuk Lingkaran Luar Kota Kinabalu (KKOR) juga sedang memasuki fasa akhir pembinaan dengan pencapaian kemajuan yang ketara.

Penolong Pengarah Cawangan Pembinaan dan Pemantauan Sektor Lebuhraya Pan Borneo Ahmad Nazrul Madri berkata Pakej Kerja 6 Putatan-Inanam, Pakej Kerja 7 Inanam-Sepanggar dan Pakej Kerja 8 Sepanggar-Bulatan Berungis masing-masing mencatat kemajuan 93 peratus, 88 peratus dan 84 peratus.

Beliau berkata ketiga-tiga pakej merangkumi jajaran sepanjang 41.7 km dan dijangka mampu mengurangkan 30 peratus aliran trafik di pusat bandaraya apabila beroperasi sepenuhnya.

"Laluan utama dari Putatan sehingga ke Norowot sepanjang kira-kira 34 kilometer dijangka boleh dibuka kepada orang ramai mulai Mac 2026," katanya kepada Bernama.

Ahmad Nazrul berkata KKOR akan membolehkan pengguna jalan raya dari Ketiau hingga Berungis atau sebaliknya menggunakan laluan baharu tanpa perlu melalui pusat banda raya sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata Pakej Kerja 6 dan 7 membabitkan pembinaan laluan baharu sepanjang 29.6 km dari Putatan ke Sepanggar sebagai jalan empat lorong dua hala manakala Pakej 8 dari Sepanggar ke Berungis sepanjang 11.7 km dibangunkan sebagai enam lorong dua hala.

Laluan enam lorong ini, katanya, direka khusus bagi menampung pertambahan trafik di kawasan perindustrian dan pelancongan sekitar Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Inanam.

Ahmad Nazrul berkata selain menghubungkan kawasan perindustrian utama, LPB membuka akses terus ke destinasi pelancongan popular seperti Kokol tanpa perlu melalui Inanam.

Beliau berkata dalam usaha menangani isu banjir yang kerap melanda kawasan rendah, infrastruktur pencegahan banjir turut diberi perhatian serius dalam reka bentuk lebuh raya.

Di kawasan Kolopis yang membabitkan Pakej 6, tiga unit Kotak Pembetung Kenderaan (VBC) bersaiz tiga meter telah dibina bagi mempercepat aliran air semasa hujan lebat sekali gus membantu mengelakkan banjir termenung berlaku.

Beliau berkata sistem perparitan itu bukan sekadar membolehkan laluan asal berfungsi tetapi juga membantu mempercepat surutnya air banjir di kawasan Kolopis dan KKIP Sabah.

Sementara itu, Pakej Kerja 10 Pituru-Rampayan Laut, yang meliputi jajaran sepanjang 32.2 km, kini mencatatkan kemajuan sebanyak 98.68 peratus.

Jurutera Awam Pakej Kerja 10 Aarol Izmi Zamani pula berkata projek bernilai RM459.2 juta itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Pakej ini merangkumi tiga struktur jambatan utama iaitu Jambatan Sungai Abai, Jambatan Tempasuk dan Jambatan Kawang-Kawang selain kemudahan hentian sebelah yang dilengkapi surau serta tandas.

Apabila siap, pakej ini akan memberi manfaat langsung kepada lebih 20 kampung membabitkan antara 20,000 hingga 30,000 penduduk manakala manfaat tidak langsung dijangka dirasai oleh lebih 100,000 penduduk dari Tuaran hingga Kudat.

Jarak perjalanan Tuaran ke Kudat pula akan dipendekkan daripada 184 km kepada 125 km dengan penjimatan masa antara 30 hingga 60 minit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan