LIBARAN, 25 Nov (Bernama) -- Rasa tanggungjawab terhadap negara mendorong seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan hadir seawal 8 pagi meskipun berkerusi roda untuk mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini.
Bagi Yally Pudon, 56, kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk melaksanakan amanah sebagai warganegara Malaysia dan dia hadir mengundi demi memastikan suaranya terus didengar dalam proses demokrasi itu.
“Ini tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia, selain keinginan untuk melihat perubahan yang kita mahukan... kita bebas memilih siapa yang kita mahu sebagai pemimpin.
"Kepada semua pengundi, turun awal menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 29 Nov ini,” katanya kepada pemberita di Pusat Pengundian Awal di Batalion 15 PGA Sandakan hari ini.
Berkongsi mengenai dirinya, Yally berkata dia terlibat dalam kemalangan ketika pulang daripada bertugas pada 2004 dan sejak 2018, keadaan lututnya semakin teruk sehingga menyukarkan pergerakan serta terpaksa memakai kerusi roda namun situasi itu tidak pernah mematahkan semangatnya.
Bagi pesara kerajaan Sarimah Durahman, 59, yang hadir bersama suaminya iaitu seorang anggota PGA, dia percaya keterbatasan fizikal tidak seharusnya menghalang seseorang daripada menunaikan kewajipan sebagai warganegara.
“Sebagai warga Malaysia, inilah peluang untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Orang seperti saya pun boleh turun mengundi walaupun berkerusi roda.
“Jadi, saya ingin berpesan kepada pengundi terutama anak-anak muda, jika saya dalam keadaan begini pun mampu hadir, tidak ada sebab untuk mereka tidak turun mengundi,” katanya.
Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan Pemangku Superintenden Wilynton Enchana Watt pula berkata anggota pasukan itu mula berkumpul seawal 7 pagi untuk menunaikan kewajipan masing-masing.
“Kita harap kehadiran 100 peratus untuk semua pegawai dan anggota termasuk pasangan yang mengundi awal di Batalion 15 ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi DUN Gum-Gum, Sungai Manila dan Sungai Sibuga iaitu Imran Jagong@Osman berkata setakat ini, perjalanan proses pengundian awal berjalan lancar.
Beliau berkata berdasarkan rekod, terdapat 692 pengundi awal di Batalion 15 PGA Sandakan bagi DUN Gum-Gum manakala DUN Sungai Manila membabitkan 558 orang dan Sekolah Kebangsaan Kem Tentera merekodkan 332 pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial