JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Selangor Sediakan Papan Pemuka Terbuka Pantau Perkembangan Projek Mitigasi Banjir

25/11/2025 05:54 PM

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri akan membangunkan satu papan pemuka terbuka projek mitigasi banjir secara dalam talian bagi membolehkan rakyat memantau perkembangan projek itu di seluruh negeri. 

‎‎Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata pembangunan papan pemuka itu juga akan melibatkan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor susulan aduan diterima daripada masyarakat yang tidak dapat melihat sebarang perkembangan secara langsung berhubung projek berkenaan.

Beliau berkata JPS dan JKR Selangor diarahkan untuk menyediakan papan pemuka berkenaan yang dijangka boleh disiapkan tahun hadapan.

“Kami akan tunjuk kemajuan projek-projek yang berkaitan, menjadikan maklumat itu boleh diakses bukan sahaja oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi juga kepada rakyat.

“Maklumat ini pun bukan rahsia dan kami boleh kongsi, tiada sebab untuk kami sembunyi kalau ada isu dengan kontraktor kami ambil tindakan, mereka perlu beri kerjasama untuk siapkan projek yang diluluskan kerana kami tahu projek-projek ini akan membawa impak membantu pengurusan banjir Selangor,” katanya. 

‎‎Beliau berkata demikian selepas meninjau projek mitigasi banjir Sungai Klang di Seksyen 23 di sini hari ini. 

‎‎Izham turut memberi jaminan projek mitigasi banjir yang diumumkan sebelum ini sedang berjalan mengikut proses yang ditetapkan dan ia memakan masa berdasarkan fasa setiap projek. 

‎‎Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri menerusi polisi quick win telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila beberapa kawasan yang sebelum ini dilaporkan terkesan teruk akibat banjir kini menampakkan kesan yang minima. 

“Menerusi langkah quick win ini, kami dapati sebahagian besar kawasan tidak banjir, kalau banjir pun minima (kesannya) contohnya kawasan seperti Bukit Naga, Sungai Kandis, Bukit Kemuning dan Kampung Air Kuning.‎

“Tempat-tempat ini tiap-tiap kali hujan akan banjir tapi selepas kami laksanakan quick win ini berjaya kurangkan impak di kawasan ini,” katanya. 

‎-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan