ALOR SETAR, 25 Nov (Bernama) -- Lima sekolah di Kedah masih terjejas akibat dilanda banjir setakat malam ini, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah Abdul Rahim Mat.
Beliau berkata sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Wan Kemara, SK Kodiang, SK Seri Banai, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yit Min dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra di daerah Kubang Pasu.
Abdul Rahim bagaimanapun berkata SK Batu Lapan Changlun, SK Putat, SMK Bandar Baru Sintok serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Dublin Bahagian Lima telah pulih dan kembali beroperasi.
“JPN Kedah juga mengambil langkah proaktif bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar dan selamat.
“Susulan nasihat keselamatan daripada Pejabat Daerah Kota Setar serta keputusan Mesyuarat Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bersama Pengetua Daerah Kota Setar, dua pusat peperiksaan terlibat banjir diarahkan berpindah serta-merta,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Abdul Rahim berkata pusat peperiksaan terlibat ialah SMK Seri Gunong dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Darussaadah di daerah Kota Setar.
Beliau berkata sebanyak 62 calon SPM dari SMK Seri Gunong dan 89 calon dari SMA Darussaadah telah dipindahkan ke asrama SMK Agama Kedah di sini.
“Pusat peperiksaan baharu bagi kedua-dua sekolah kini beroperasi sepenuhnya di SMK Agama Kedah dan penyelarasan operasi perpindahan calon dan logistik telah disempurnakan oleh JPN Kedah bersama PPD Kota Setar,” katanya.
Beliau berkata murid tingkatan satu hingga tiga SMK Agama Kedah dibenarkan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk memberi laluan kepada pengoperasian pusat peperiksaan berkenaan.
“JPN Kedah bersama semua PPD sedang melaksanakan pemantauan berterusan terhadap situasi banjir dan risiko keselamatan berkaitan pelaksanaan SPM.
“JPN Kedah ingin menegaskan keselamatan calon SPM, petugas peperiksaan dan warga sekolah menjadi keutamaan, dan ibu bapa serta calon diminta untuk sentiasa mengikuti hebahan rasmi daripada pihak sekolah, PPD atau JPN Kedah dari semasa ke semasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial