KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat malam ini apabila dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, manakala bilangan mangsa di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis menurun, sementara di Pahang tidak berubah.
Di SELANGOR, jumlah mangsa meningkat kepada 2,910 orang daripada 789 keluarga berbanding 2,773 orang daripada 749 keluarga petang tadi.
Dua PPS baharu dibuka, iaitu Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil dan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang di Kuala Selangor, menjadikan jumlah keseluruhan PPS sebanyak 23 buah yang beroperasi di negeri itu.
Di KEDAH, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 1,629 orang daripada 543 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 1,640 orang daripada 525 keluarga petang tadi yang ditempatkan di 14 PPS di daerah Kubang Pasu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan angka mangsa dijangka bertambah apabila Kota Setar menjadi daerah terbaharu terjejas banjir dengan pembukaan dua PPS baharu.
“Dua PPS baharu itu ialah SK Taman Aman dan SK Taman Uda, bagaimanapun jumlah mangsa yang terlibat masih dalam bancian,” menurut kenyataan itu.
Di KELANTAN, mangsa banjir menurun sedikit kepada 9,337 orang daripada 3,484 keluarga malam ini berbanding 9,959 orang pada petang tadi.
Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 41 PPS dibuka di empat jajahan terjejas, iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
Di PULAU PINANG, hanya satu PPS masih beroperasi yang menempatkan 50 mangsa banjir daripada 11 keluarga malam ini, menurun berbanding 121 mangsa daripada 30 keluarga petang tadi.
Berdasarkan kemas kini lnfobencana JKM setakat 7.36 malam, PPS SK Permatang Pasir di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) masih kekal beroperasi menempatkan mangsa berkenaan.
Di PERLIS, jumlah mangsa menurun kepada 5,244 orang setakat malam ini berbanding 5,591 mangsa pada sebelah petang.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, semua mangsa berlindung di 17 PPS melibatkan penduduk di kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 42 orang daripada 19 keluarga setakat 8 malam ini.
Infobencana JKM memaklumkan sebanyak 23 mangsa daripada 11 keluarga berada di PPS Balai Raya Kampung Ulu Sungai, Raub, manakala 19 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS Dewan Seberguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial