KOTA KINABALU, 4 Jan (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick mencadangkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meneruskan pelaksanaan moratorium pembayaran pinjaman bagi membantu usahawan terjejas akibat bencana.
Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan negeri memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kekal berdaya saing walaupun berdepan cabaran luar jangka.
“Sebelum ini, agensi pembiayaan di bawah KUSKOP telah melaksanakan polisi pemberian moratorium atau kelonggaran pembayaran pinjaman termasuk penangguhan bayaran sehingga maksimum enam bulan kepada usahawan terjejas.
“Dalam hal ini, saya akan mendapatkan pengesahan daripada KUSKOP sama ada polisi tersebut masih diteruskan atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ewon juga akan mencadangkan kepada KUSKOP supaya Jawatankuasa Bersama yang ditubuhkan sebelum ini dapat diteruskan bagi memastikan penyelarasan pembangunan keusahawanan dilaksanakan secara lebih berkesan.
Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu penting bukan sahaja untuk penyelarasan program pembangunan usahawan, malah bagi menangani isu berkaitan musibah dan bencana yang memberi kesan langsung kepada kelangsungan perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial