JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

TMM2026: KDN Fokus Perkukuh Kawalan Pintu Masuk Negara, Kelancaran Pergerakan

08/01/2026 02:22 PM

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi komitmen penuh untuk memastikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 mendapat sokongan operasi terbaik di semua pintu masuk utama negara, dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Imigresen sebagai barisan hadapan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata fokus utama kedua-dua agensi itu adalah memastikan kelancaran pergerakan rakyat dan pelancong, tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan negara.

“Keutamaan kami adalah kelancaran dan keselamatan di pintu masuk utama negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2, Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu 2026 KDN di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pemasangan sistem pagar automatik di semua lokasi berkenaan akan dilengkapkan dalam usaha meningkatkan kecekapan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menjadi peneraju utama dalam usaha negara memerangi jenayah penipuan dalam talian melalui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Beliau berkata premis utama NSRC di Cyberjaya akan dilancarkan dalam beberapa minggu lagi.

Menurut Saifuddin Nasution, sebelum ini pusat aduan rakyat bagi jenayah dalam talian beroperasi di Bank Negara Malaysia sebagai gabungan pelbagai agensi termasuk PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Keputusan yang dibuat tahun lepas ialah menjadikan PDRM sebagai peneraju utama, dengan peruntukan khusus dan premis operasi baharu.

“Langkah ini selaras dengan keperluan semasa kerana trend jenayah penipuan, khususnya jenayah komersial menunjukkan peningkatan kerugian kewangan jauh lebih besar berbanding jenayah konvensional,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata pusat itu kini sudah beroperasi dan menerima purata kira-kira 500 panggilan aduan setiap hari menerusi talian 24 jam, dengan separuh daripadanya adalah kes sah yang memerlukan tindakan segera.

Beliau berkata pindaan yang dilaksanakan tahun lepas turut menetapkan setiap aduan yang dibuat kepada NSRC secara automatik dianggap sebagai laporan polis, tanpa memerlukan pengadu hadir ke balai seperti sebelum ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan