JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

JPJ Perak Rekod Kutipan Lebih RM30 Juta Menerusi Diskaun Saman 50 Peratus

08/01/2026 03:40 PM

IPOH, 8 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM30.7 juta menerusi diskaun saman 50 peratus yang berakhir pada 30 Dis tahun lepas.

Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM25.8 juta kutipan kompaun yang direkodkan pada 2024.

“JPJ Perak juga berjaya membuat kutipan hasil anggaran sebanyak RM239 juta pada tahun lepas manakala kira-kira RM217 juta pula direkodkan pada tahun sebelumnya,” katanya selepas melakukan tinjauan Operasi Pengarah Bilangan 1 Tahun 2026 di Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Yusoff berkata sebanyak 226 notis kesalahan dikeluarkan hari ini atas pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen memandu, tidak memperbaharui lesen kenderaan motor dan insurans, selain lain-lain kesalahan.

Beliau berkata pelaksanaan operasi itu bertujuan memantau dan memastikan tahap pematuhan orang awam terhadap peraturan lalu lintas yang berkuat kuasa, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal yang juga antara pengguna jalan raya paling terdedah kepada risiko kemalangan.

Sementara itu, Mohammad Yusoff berkata pihaknya masih mengambil pendekatan advokasi untuk menangani pemakaian topi keledar tanpa kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan telah menggariskan penggunaan peralatan kenderaan di atas jalan raya supaya perlu mematuhi spesifikasi SIRIM.

“Kami buat teguran dan sekiranya kami melaksanakan advokasi berkaitan pemakaian topi keledar, maka kami akan tukarkannya dengan topi keledar bercop SIRIM,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan