PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 199 tong gas petroleum cecair (LPG) dan lori dianggarkan bernilai RM144,427 menerusi operasi di sebuah premis Kampung Sungai Keroh, Sepang, Selasa lepas.
Menerusi kenyataan hari ini, KPDN memaklumkan dalam serbuan itu pihaknya turut menahan tiga individu termasuk dua warga asing kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri untuk tujuan pemeriksaan.
“Semasa serbuan, dua lelaki warga asing itu didapati sedang memindahkan tong LPG dari sebuah lori manakala seorang lelaki tempatan turut berada di lokasi kejadian. Pemeriksaan lanjut menemukan 199 tong LPG di dalam premis berkenaan.
“Pelbagai barangan dan peralatan termasuk tong gas LPG, peralatan komunikasi, peralatan pengendalian, sebuah lori serta peralatan lain yang berkaitan turut disita, dengan rampasan keseluruhan dianggar bernilai RM144,427,” menurut KPDN.
Siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) iaitu menjalankan aktiviti berurusan secara borong atau runcit serta pengendalian barang kawalan tanpa lesen yang sah.
KPDN turut memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan dan orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan kepada KPDN sama ada menerusi WhatsApp 019-848 8000; portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial