EKONOMI

Permintaan Penumpang Global Meningkat 8.6 Peratus Pada Ogos - IATA

03/10/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Jumlah permintaan penumpang global, diukur berdasarkan perolehan daripada kilometer yang dilalui penumpang (RPK), meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2024 daripada catatan Ogos 2023, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dalam kenyataan pada Khamis, persatuan itu menjelaskan jumlah kapasiti, diukur berdasarkan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK), meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun.

“Faktor beban pada Ogos ialah 86.2 peratus tahun ke tahun, meningkat sebanyak 1.6 mata peratusan (ppt) berbanding Ogos 2023, satu rekod tinggi baharu,” tambah IATA.

Persatuan itu memaklumkan permintaan antarabangsa meningkat 10.6 peratus tahun ke tahun, manakala kapasiti menokok 10.1 peratus tahun ke tahun, dan faktor beban naik sebanyak 0.4 ppt tahun ke tahun kepada 85.7 peratus.

“Permintaan domestik meningkat 5.6 peratus tahun ke tahun, dengan kapasiti naik 1.2 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan adalah 86.9 peratus (+3.6 ppt berbanding Ogos 2023),” tambah IATA.

Sementara itu, Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata pasaran perjalanan udara sedang berkembang pesat dan syarikat penerbangan mencatatkan prestasi cemerlang dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Beliau berkata peningkatan kecekapan mendorong faktor bebanan ke tahap tinggi manakala peningkatan kapasiti sebanyak 6.5 peratus menunjukkan daya tahan dalam menghadapi isu rantaian bekalan yang berterusan dan kelemahan infrastruktur.

“Dalam melangkah maju, pertumbuhan permintaan kukuh yang berterusan menandakan bahawa kita boleh menghadapi masalah kapasiti infrastruktur yang akan mengekang kesambungan dan pilihan penumpang dan perniagaan.

“Jika kerajaan mahu memaksimumkan manfaat penerbangan, mereka mesti mengambil keputusan berani untuk memastikan kapasiti infrastruktur mencukupi,” katanya.

Walsh berkata sementara itu, lapangan terbang dan penyedia perkhidmatan navigasi udara perlu melakukan banyak lagi dengan sumber yang mereka ada pada masa ini.

Terutamanya perbezaan antara kapasiti yang diumumkan bagi lapangan terbang dengan infrastruktur yang sama secara keseluruhannya, perlu diselesaikan, dengan lapangan terbang mencontohi prestasi terbaik, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan