SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) -- DAP merupakan rakan yang setia dan akan terus menyokong serta mendukung kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, kata Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng.
Beliau berkata komitmen itu tidak perlu dipertikaikan, malah telah lama dibuktikan sejak era Tan Sri Lim Kit Siang sebagai Setiausaha Agung DAP sehingga kepimpinan parti kini yang diterajui oleh Anthony Loke.
“Kini saya nak tekankan sekali lagi, DAP adalah satu rakan yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sokongan kita tidak berbelah bahagi.
“DAP berasa bangga kita boleh bantu Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri dan kita akan terus beri dukungan sedemikian. Mari kita bangun dan ucapkan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri atas kejayaan beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam di Seksyen 15, hari ini yang turut dihadiri Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Turut hadir Loke yang juga Menteri Pengangkutan, Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dan Naib Presiden PKR Senator K. Saraswathy.
Lim seterusnya memuji reformasi institusi dan politik hasil usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan pada tahun ini.
Beliau turut berharap agar reformasi ekonomi boleh diambil kira dan disegerakan tahun ini sebagai membalas budi pengundi yang memberi kepercayaan kepada PH, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Berhubung kongres DAP, Lim berkata 4,203 perwakilan dari seluruh negara hadir dan ia merupakan kehadiran paling besar dalam sejarah 59 tahun penubuhan parti itu.
“Kita berkumpul di sini untuk memilih pimpinan baharu untuk parti DAP dan negara Malaysia. Buat kali pertama, oleh kerana (kehadiran) wakil yang begitu ramai, kita tidak benarkan pemerhati ataupun ahli biasa hadiri kongres hari ini.
“Kongres tahun ini menarik perhatian media massa kerana pimpinan baharu akan dipilih. Menang atau kalah adalah perkara biasa dalam pertandingan, dan kita perlu letakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan prosesnya,” katanya.
Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berlangsung pada 10 pagi ini, dengan 70 calon bakal berentap merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan.
CEC DAP ialah badan pembuat keputusan tertinggi yang mengetuai parti itu dalam menetapkan hala tuju, merangka dasar, menguatkuasakan perlembagaan parti, serta mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu berdasarkan perlembagaan tersebut.
Ia terdiri daripada 30 ahli yang dipilih secara demokratik oleh perwakilan cawangan semasa Kongres Kebangsaan Parti.
Mereka kemudiannya diberi kuasa untuk memilih 10 ahli tambahan. Ahli-ahli CEC yang dipilih akan menentukan pemilihan jawatan dalam kalangan mereka, dengan jawatan Setiausaha Agung sebagai peneraju.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial