Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi hari ini selepas Amerika Syarikat (AS) mengelak daripada menutup operasi kerajaan, menunjukkan sentimen mengambil risiko yang lebih baik, membawa kepada dolar AS yang rendah.
Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4395/4500 berbanding dolar AS daripada 4.4410/4455 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data ekonomi AS yang lemah turut menyumbang kepada sentimen positif terhadap mata wang tempatan hari ini.
Dilaporkan indeks sentimen pengguna University of Michigan merosot dengan ketara kepada 57.9 mata pada Mac.
“Ini merupakan penurunan untuk bulan ketiga berturut-turut dan terendah sejak November 2022.
“Ini menunjukkan pengguna AS dijangka berbelanja dengan berhati-hati berikutan harga barangan, terutamanya barangan import, berkemungkinan akan meningkat susulan langkah tarif yang dikenakan ke atas Kanada, Mexico dan China,” katanya, sambil menambah ini boleh menjadi alasan Rizab Persekutuan (Fed) yang mungkin mahu mempercepat penurunan kadar faedah pada tahun ini.
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata peniaga dan pelabur akan memantau mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan berlangsung selama dua hari bermula pada 18 Mac.
Katanya walaupun Kadar Dana Persekutuan (FFR) dijangka kekal pada 4.50 peratus, unjuran untuk FFR, inflasi, pertumbuhan dan kadar pengangguran akan menjadi fokus utama.
Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding euro kepada 4.8306/8420 daripada 4.8194/8243 pada Jumaat lepas, berkurangan berbanding pound kepada 5.7407/7543 daripada 5.7404/7463 dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9888/9960 daripada 2.9809/9842.
Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3292/3373 daripada 3.3241/3277 sebelum ini, bagaimanapun mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1798/2228 daripada 13.1820/2020.
Ringgit turut meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 271.5/272.2 daripada 271.6/272.0 dan mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.75/7.78 daripada 7.75/7.77.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial