Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin apabila peniaga dan pelabur kekal berwaspada menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS selama dua hari bermula esok, kata penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.4450/4490 berbanding dolar AS daripada 4.4410/4455 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data ekonomi AS yang hambar, peningkatan ketidaktentuan mengenai geopolitik di Eropah dan Timur Tengah serta komitmen China untuk melonjakkan penggunaan telah menyebabkan pasaran berada dalam keadaan defensif.
“Dagangan dolar AS-ringgit hari ini bermula pada harga kukuh RM4.4342 namun susut secara beransur-ansur ke arah RM4.4473 pada sesi petang.
“Nampaknya ringgit sedang berlegar di sekitar paras rintangan serta-merta,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit turun berbanding euro kepada 4.8455/8499 daripada 4.8194/8243 ketika ditutup pada Jumaat lepas, dan susut berbanding pound British kepada 5.7576/7628 daripada 5.7404/7463.
Unit tempatan juga rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9896/9925 daripada 2.9809/9842.
Ringgit juga diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang domestik rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3351/3383 daripada 3.3241/3277 semasa ditutup Jumaat lepas, dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.2213/2391 daripada 13.1820/2020.
Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 270.9/271.2 daripada 271.6/272.0 dan kurang stabil berbanding peso Filipina kepada 7.76/7.77 daripada 7.75/7.77.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial