AM

ABIM Sokong Inisiatif Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Di Sekolah

28/03/2025 11:56 AM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang di sekolah-sekolah untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam kenyataan hari ini berkata usaha KPM itu, wajar diperkasakan kerana ia sebagai simbol untuk membina identiti nasional dan kesedaran sivik dalam kalangan generasi muda.

“ABIM juga menghargai komitmen KPM dalam menyediakan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada semua murid sekolah, termasuk di Sekolah Kebangsaan, SRJK (C) dan SRJK (T), membuktikan pendekatan yang menyeluruh dan adil dalam pelaksanaan dasar,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, KPM menerusi satu kenyataan memaklumkan akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa 21 April depan secara berperingkat, untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.

Menurut KPM, pemakaian lencana Jalur Gemilang itu melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata ABIM mencadangkan agar KPM memperuntukkan satu hari atau minggu khas untuk aktiviti perpaduan kebangsaan di sekolah.

“Program seperti gotong-royong, sukan rakyat, seni budaya dan aktiviti kolaboratif antara sekolah-sekolah berbilang kaum wajar dihidupkan semula, sebagai medium interaksi muhibah yang praktikal. Ia juga boleh menjadi ruang mendidik pelajar tentang makna sebenar hidup bersama dalam budaya damai,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar program perpaduan itu dijenamakan semula sebagai Kem Muhibah MADANI, sebagai kesinambungan serta penambahbaikan kepada Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang kini kurang mendapat perhatian.

Ahmad Fahmi berkata pendekatan itu, mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja bangga menjadi rakyat Malaysia, tetapi juga mampu hidup bersama dengan saling menghormati, memahami dan bekerjasama demi masa depan negara yang lebih harmoni.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan