AM

Kebakaran Putra Heights: Majlis Rumah Terbuka Parlimen Sepang Sabtu Ini Dibatalkan

07/04/2025 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Majlis Rumah Terbuka Parlimen Sepang KASIH D’Aidilfitri yang dijadualkan Sabtu ini dibatalkan, kata Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata ini sebagai tanda solidariti dan penghormatan kepada mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights.

Dalam pada itu, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan  menyambut baik perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang sebagai antara penempatan sementara di rumah Smart Sewa dengan subsidi kerajaan negeri kepada 116 keluarga yang terbabit dalam insiden itu.

“Saya bersama pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang dengan semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan mengalu-alukan 116 keluarga itu dan siap sedia membantu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebagai langkah awal, beliau berkata Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang akan menyediakan 232 tilam untuk diagihkan kepada mangsa terbabit yang dijadual berpindah masuk ke premis berkenaan mulai minggu ini.

Kebakaran saluran gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa lepas menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, menyebabkan bomba terpaksa mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkan kebakaran itu sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan