POLITIK

PRN Sabah: Hari Ketiga Kempen, Calon Pertingkat Usaha Giat Dekati Pengundi

17/11/2025 06:47 PM

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang memasuki hari ketiga hari ini menyaksikan parti politik serta calon bertanding terus menggandakan usaha mendekati pengundi menerusi pelbagai program dan aktiviti.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Md Nadzmin Kamin menjadikan masalah tiga serangkai iaitu jalan rosak, bekalan air tidak menentu serta gangguan elektrik sebagai keutamaan jika diberi mandat oleh pengundi.

Beliau berkata masalah berkenaan terus menjerut nadi ekonomi tempatan termasuk sektor pelancongan, pertanian dan penternakan.

Calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP bagi kerusi DUN Tanjung Aru Datuk Chang Foong Hin meneruskan siri jelajahnya di Pulau Gaya yang menjadi antara fokus utamanya dalam usaha membawa pembangunan lebih tersusun dan inklusif kepada komuniti setempat. 

Chang yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi komited untuk memastikan Pulau Gaya tidak terpinggir daripada arus pembangunan Sabah, termasuk membawa inisiatif kebajikan dan program pembangunan berfasa demi kesejahteraan penduduk.

Seorang lai calon PH daripada DAP, Philip Yap Wui Lip pula menjadikan pendidikan sebagai teras kempen beliau di kerusi DUN N69 Sri Tanjong.

Ketika menghadiri Konsert Amal Pendidikan di Sabah Chinese High School, beliau menyatakan sokongan terhadap pembangunan sekolah serta berinteraksi dengan pihak lembaga pengurus, guru dan jawatankuasa penganjur.

Beliau dilaporkan berkata: “Usaha para pendidik dan komitmen jawatankuasa penganjur adalah kebanggaan Tawau. Mereka merupakan tenaga penggerak utama yang memastikan pendidikan terus maju.”

Beliau turut menyatakan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, pendidikan Cina telah menerima pelbagai sokongan konkrit dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada PRN kali ini, GRS bertanding di 55 daripada 73 kerusi DUN, dengan 33 peratus calonnya adalah muka baharu manakala PH bertanding di 22 kerusi.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan