KUALA LUMPUR 12 Dis (Bernama) -- Sebanyak 859 peluang pekerjaan khusus untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) ditawarkan pada Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang bakal berlangsung di Aloft Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Dis ini.
Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan karnival itu adalah antara inisiatif terbesar penyantunan kerjaya OKU yang pernah dianjurkan oleh agensi berkenaan selaras dengan komitmen memperkukuh agenda keterangkuman dan peluang ekonomi yang adil untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut Perkeso, peluang pekerjaan ditawarkan oleh 24 majikan pelbagai sektor sekali gus membuka ruang lebih luas kepada komuniti OKU untuk melangkah ke alam kerjaya yang lebih stabil dan bermaruah.
“Kesemua jawatan ini dikhususkan untuk komuniti OKU, dengan lebih 45 peratus daripadanya melibatkan jawatan bertaraf eksekutif dan pengurusan sekali gus mencerminkan kesungguhan Perkeso dalam menyediakan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, bukan sekadar dari segi bilangan.
“Sebahagian besar kekosongan melibatkan sektor penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman dengan 546 jawatan diikuti sektor perkhidmatan lain (123), perdagangan borong dan runcit (64), kewangan serta insurans atau takaful (50) dan pendidikan (28) manakala selebihnya merangkumi pelbagai sektor lain,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan antara majikan utama yang terlibat ialah Maybank, Padini Holdings Berhad, Aeon Co (M) Berhad, Genashtim Sdn Bhd dan GD Express Sdn Bhd, yang bersedia menerima pencari kerja OKU berkelayakan untuk menyertai organisasi masing-masing.
Dalam pada itu, jawatan Independent Verification Analyst (IVA) yang ditawarkan oleh Genashtim Sdn Bhd merupakan antara bergaji paling tinggi di karnival berkenaan, dengan julat antara RM4,000 hingga RM4,999.
Perkeso turut menyediakan rangkaian sokongan kerjaya komprehensif sepanjang karnival itu termasuk kaunseling kerjaya, padanan pekerjaan dan bantuan pembinaan resume secara intensif oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan.
Selain itu, kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pula membolehkan pencari kerja OKU menjalani sesi pemprofilan bagi jawatan perkhidmatan awam dan menghadiri temu duga untuk jawatan MySTEP.
Komuniti OKU yang hadir juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan pendaftaran Kad OKU dan EPOKU (elaun pekerja orang kurang upaya) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat selain mengunjungi pameran serta jualan produk OKU membabitkan MENTARI, Bengkel Daya Klang, Pusat Dalam Komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan OKU.
Karnival itu turut menampilkan sesi Pocket Talk yang mengetengahkan perkongsian inspirasi daripada golongan berkenaan yang berjaya dalam kerjaya masing-masing selain menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi menyantuni OKU kategori pertuturan dan pendengaran.
Perkeso menggalakkan semua pencari kerja OKU untuk membuat prapendaftaran menerusi laman sesawang www.myfuturejobs.gov.my/careerfair bagi melancarkan proses kemasukan dan padanan pekerjaan sepanjang penganjuran karnival berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial