PUTATAN, 12 Dis (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah akan diadakan lebih kerap bagi membincangkan dan meniliti masalah yang menghalang kelancaran projek pembinaan lebuh raya berkenaan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata banyak perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut dapat diperincikan dengan baik kerana kehadiran wakil daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan agensi kerajaan negeri Sabah yang berkaitan.
"Antara yang dibincangkan ialah mengenai perjalanan dan pencapaian pelaksanaan projek, cabaran dan masalah yang dihadapi serta cadangan solusi yang dipertimbangkan bagi memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan mengikut spesifikasi kualiti, masa dan kos.
"Hari ini saya bersama Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Juri serta pegawai Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan agensi kerajaan negeri Sabah yang berkaitan. Kami bincangkan kelancaran pelaksanaan projek, fokus masalah dan apa solusi boleh dirundingkan bersama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja untuk meninjau kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 di Pakej Kerja 7 dan 8 di sini hari ini.
Nanta yakin segala permasalahan dalam projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat diselesaikan lebih baik melalui perbincangan secara bersemuka dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu berkenaan.
Mengulas mengenai lawatan kerja itu, beliau berkata sesi turun padang merupakan inisiatif rutin kepimpinan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk memantau kemajuan fizikal projek secara holistik, mengenal pasti cabaran serta isu di tapak pembinaan yang memerlukan tindakan penyelesaian segera.
"Pendekatan proaktif ini penting bagi mengelakkan kelewatan projek dan memastikan tiada projek yang diklasifikasikan sebagai 'sakit'. Pakej kerja ini adalah sebahagian daripada jajaran strategik Kota Kinabalu Outer Ring Road (KKORR), yang berperanan sebagai penghubung jajaran utama dari bahagian barat daya ke barat laut Sabah.
"Infrastruktur ini bukan sahaja penting dalam jaringan jalan raya utama negeri malah dijangka memberikan impak sosioekonomi yang besar kepada rakyat, termasuk memangkin lonjakan baharu dalam pertumbuhan ekonomi negeri, merancakkan perindustrian pelaburan, serta meningkatkan keterhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya.
Nanta berkata projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 melibatkan kerja pembinaan sepanjang 706 kilometer (km) dan dilaksanakan dalam dua fasa utama.
"Pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A melibatkan jajaran sepanjang 318 km dan kini sedang giat dilaksanakan dengan status kemajuan terkini 86.53 peratus. Bagi Fasa 1B pula melibatkan jajaran sepanjang 388 km, yang kini sedang dilaksanakan mengikut perancangan dengan kemajuan fizikal pada tahap 12.27 peratus," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial