Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 12 Dis (Bernama) -- Tujuh wakil badminton negara termasuk tiga sandaran utama memburu pingat emas mara ke separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 selepas mengatasi lawan masing-masing pada aksi suku akhir di Pathum Thani, hari ini.
Dalam saingan di Gimnasium 4, Kampus Rangsit Universiti Thammasat, juara dunia beregu campuran dan pilihan utama, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, hanya memerlukan 34 minit untuk menundukkan pasangan Singapura, Terry Hee-Jin Yu Jia, 21-12, 21-14.
Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan wakil tuan rumah yang menduduki ranking ke-13 dunia, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat di separuh akhir, esok.
Beregu lelaki nombor dua dunia dan pilihan utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengikut jejak langkah Tang Jie-Ee Wei selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Supak Jumkoh-Kittinupong Kedren, 21-16, 21-16.
Dalam pertemuan separuh akhir, bekas juara dunia 2022 itu akan berdepan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, yang menumpaskan pasangan Singapura, Wesley Koh-Kubo Junsuke, 21-17, 21-19.
Pilihan kedua Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara ke separuh akhir selepas menundukkan pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul, 21-16, 21-19.
Mereka akan bertemu beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, yang menyingkirkan pasangan Filipina, Solomon Jr. Padiz–Julis Villabrille, 21-11, 21-17.
Dalam kategori beregu wanita, naib juara dunia 2025, Pearly Tan-M. Thinaah, melangkah mudah ke separuh akhir selepas menundukkan pasangan tuan rumah, Benyapa Aimsaard-Sapsiree Taerattanachai, 21-11, 21-14 dalam masa 37 minit.
Beregu nombor dua dunia dan pilihan utama itu bakal berdepan wakil Indonesia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum, yang berjaya menumpaskan pasangan Vietnam, Pham Thi Dieu Ly-Pham Thi Khanh, 19-21, 21-13, 21-14.
Bagaimanapun, Sukan SEA kali ini menjadi kekecewaan buat pasangan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing apabila pilihan kedua itu tewas mengejut kepada pasangan Indonesia bukan pilihan, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, 15-21, 12-21.
Sementara itu, beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin masih gagal memenangi pertemuan ketiga mereka dengan pasangan tuan rumah dan pilihan kedua, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, apabila tewas 12-21, 15-21 di peringkat suku akhir.
Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dan Justin Hoh mara ke separuh akhir selepas menundukkan pemain Thailand masing-masing, Panitchaphon Teeraratsakul 21-18, 21-16 dan Kantaphon Wangcharoen 21-15, 21-17.
Pilihan keempat, Jun Hao, akan berdepan Moh Zaki Ubaidillah dari Indonesia, manakala Justin menentang wakil Indonesia dan pilihan kedua, Alwi Farhan.
Moh Zaki sebelum ini menyingkirkan pilihan utama dan bekas juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura, 21-19, 21-10, sementara Alwi menewaskan Clarence Villaflor dari Filipina 21-18, 21-14.
Pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching, mencuri tumpuan apabila mara ke separuh akhir selepas mengatasi wakil Indonesia, Ni Kadhek Dinda Anitya Pratiwi, 21-11, 21-17.
Namun tugas getir menanti Ling Ching apabila bakal bertemu pilihan kedua dan wakil tuan rumah yang menduduki ranking kelapan dunia, Ratchanok Intanon pada aksi separuh akhir.
Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa, menamatkan penglibatannya selepas tewas buat kali kelima berturut-turut kepada pilihan utama Indonesia, Putri Kusuma Wardani, 18-21, 13-21 dalam tempoh 42 minit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial