KANGAR, 17 Dis (Bernama) -- Seorang Penolong Pegawai Pertahanan Awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan untuk isterinya melibatkan perolehan perkhidmatan makan dan minum berjumlah RM7,350 pada Ogos 2016.
Mohd Ruhaizul Md Isa @ Mansor, 45, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Mengikut pertuduhan, Mohd Ruhaizul selaku Pegawai Badan Awam, yang ketika itu sebagai Penolong Pegawai Pertahanan Awam di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi isterinya berusia 45 tahun dengan meluluskan Pesanan Kerajaan bernombor L0111800301160124 dan memperakukan baucar bayaran bernombor B0737 atas nama Syarikat Sinar Rizki Barakah Resources, milik isterinya.
Perbuatan itu berkaitan perolehan Perkhidmatan Makan dan Minum Majlis Pemakaian Pangkat dan Pelancaran CDERT-C Negeri Perlis untuk APM Negeri Perlis berjumlah RM7,350, sedangkan tertuduh mempunyai kepentingan secara langsung dalam urusan berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat APM Negeri Perlis di sini antara 28 Ogos hingga 30 Ogos 2016.
Sehubungan dengan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu, jika butir matan palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi sekiranya disabitkan kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 19 Jan 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis S. Sujatha, manakala Mohd Ruhaizul diwakili Peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial