KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyasarkan untuk membantu 400 keluarga fakir, miskin dan asnaf di seluruh negara menerusi Program Sinar Kasih Ramadan (SKR) yang kini memasuki tahun ke-18 pelaksanaannya.
Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Sakom berkata program tahunan itu akan dilaksanakan menjelang Ramadan yang dijangka bermula pada 19 Feb, melibatkan bantuan tunai serta barangan keperluan asas, hasil sumbangan individu, organisasi dan rakan strategik.
Sejak diperkenalkan pada 2008 hingga 2025, program itu telah memberi manfaat kepada 4,071 keluarga dengan jumlah kumulatif sumbangan tunai mencecah RM1.5 juta, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan yayasan itu dalam menyantuni golongan rentan.
“Bagi tahun 2026, YBK menyasarkan untuk membantu 400 keluarga fakir, miskin dan asnaf, yang akan menerima sumbangan tunai bagi perbelanjaan berbuka puasa dan bersahur, di samping sumbangan barangan daripada rakan-rakan penaja korporat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata Program SKR 2026 turut berperanan sebagai platform yang menghubungkan penerima manfaat dengan penyumbang, penaja serta agensi berkaitan termasuk Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor.
“Peranan YBK sebagai pemudah cara ini membolehkan penerima manfaat dirujuk kepada agensi yang paling sesuai mengikut keperluan mereka, sementara penyumbang pula dapat menyalurkan sumbangan secara telus dan berfokus melalui YBK,” katanya.
Zainal Abidin berkata maklumat penerima bantuan diperoleh melalui pihak sekolah, pemimpin komuniti, rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan YBK dan akan melalui proses semakan sebagi memastikan hanya keluarga layak menerima bantuan itu.
YBK turut memaklumkan laporan berkaitan pelaksanaan program itu akan dipaparkan menerusi platform media sosial serta laman web rasmi yayasan berkenaan sebagai jaminan ketelusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial