AM

Raja Muda Kedah Titah Hentikan Tohmahan, Fitnah Terhadap MAIK Dan JHEAIK

05/02/2026 06:26 PM

ALOR SETAR, 5 Feb (Bernama) -- Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah supaya menghentikan segera tohmahan atau fitnah terhadap pihak berkuasa agama Islam di negeri ini, berhubung penolakan acara ceramah di masjid.

Tengku Sarafudin Badlishah yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) bertitah  baginda memandang serius isu ceramah berunsurkan politik di masjid dan surau.

“Baru-baru ini, tular dalam media sosial mengenai surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mengenai penolakan acara ceramah di sebuah masjid.

“Penolakan ini berasaskan pekeliling yang telah dikeluarkan dan perkara ini telah pun diambil tindakan yang sewajarnya,” titah baginda dalam kenyataan, hari ini.

Baginda berharap perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang dan sekiranya berulang, tindakan akan terus diambil.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah semua bentuk pengisian agama di masjid dan surau adalah tertakhluk kepada peraturan, garis panduan serta kebenaran yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.

Tiada mana-mana individu atau pihak dikecualikan daripada pematuhan peraturan itu, tanpa mengira jawatan, kedudukan atau latar belakang.

“Ketetapan ini dilaksanakan secara adil, konsisten dan saksama, demi memelihara kemuliaan masjid serta kewibawaan institusi agama Islam di Kedah,” titah baginda.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah pemisahan yang jelas antara ruang ibadah dan politik adalah amat penting bagi menjamin keharmonian masyarakat serta mengelak agama Islam dieksploitasi sebagai alat legitimasi atau propaganda kepentingan tertentu.

Baginda bertitah MAIK akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, berlandaskan hukum syarak, undang-undang serta perlembagaan negeri, dan demi memastikan kestabilan, keharmonian dan perpaduan ummah di negeri ini terus terpelihara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan