KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM1.97 trilion pada 2025, kenaikan 4.2 peratus daripada RM1.89 trilion dicatatkan pada 2024, manakala jualan pada Disember tahun lepas meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun sebanyak RM168.6 billion.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan nilai jualan sektor pembuatan kebanyakannya didorong oleh produk elektrik dan elektronik yang menokok 12.6 peratus pada Disember 2025 daripada 10.8 peratus pada November 2025.
“Pertumbuhan ini disokong lagi oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, masing-masing meningkat 10.4 peratus (November 2025: 7.7 peratus) dan 5.3 peratus (November 2025: 3.4 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata jika dibandingkan mengikut bulan, pertumbuhan nilai jualan susut 0.5 peratus berbanding RM169.4 bilion dicatatkan pada November, 2025.
Beliau berkata pertumbuhan nilai jualan industri berorientasikan eksport, mewakili 70.4 peratus daripada jumlah jualan, meningkat 6.8 peratus pada Disember 2025 daripada 4.6 peratus pada November 2025.
Begitu juga dalam industri berorientasikan domestik, ia meningkat sebanyak 5.6 peratus pada Disember 2025, selepas mencatatkan 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, kata Mohd Uzir.
Mengulas mengenai jumlah pekerja, Mohd Uzir berkata terdapat 2.4 juta pekerja direkodkan dalam sektor ini pada Disember 2025, bertambah sebanyak 1.1 peratus (November 2025: 0.8 peratus).
Berasaskan bulan ke bulan, jumlah pekerja dalam sektor ini meningkat 0.1 peratus.
Sementara itu, beliau berkata gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan berkembang 2.5 peratus (November 2025: 1.9 peratus), berjumlah RM9.1 bilion pada Disember, 2025.
Mohd Uzir berkata pada suku keempat 2025, nilai jualan dalam sektor pembuatan melonjak sebanyak 5.8 peratus tahun ke tahun, mencapai RM509.5 bilion (suku ketiga 2025: RM500.1 bilion, 3.5 peratus), jumlah pekerja sepanjang suku tersebut naik 1.1 peratus (suku ketiga 2025: 1.0 peratus), manakala gaji dan upah yang dibayar melonjak sebanyak 2.3 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial