JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu e-Hailing Cabul Penumpang Dibebaskan Dengan Jaminan Polis, Kes Dirujuk D5 Bukit Aman

09/02/2026 08:51 PM

JOHOR BAHRU, 9 Feb (Bernama) -- Pemandu e-panggilan (e-hailing) yang direman minggu lepas bagi membantu siasatan kes cabul kehormatan seorang wanita warga Vietnam di dalam kenderaan yang digunakan suspek tersebut, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahman Arsad berkata pembebasan suspek dibuat sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk ke Pejabat D5 (Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam masa terdekat sebelum dikemukakan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut.

“Suspek merupakan seorang penjawat awam dan telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini sementara menunggu keputusan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ab Rahaman dilaporkan berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki berumur 26 tahun di sini pada 4 Feb lepas, selain turut merampas dua telefon bimbit serta sebuah kereta jenis Perodua Bezza bersama dengan kunci dan alat kawalan jauh.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa pada 4 Feb lepas, selain rakaman video berkaitan kejadian itu dikesan tular menerusi media sosial sejak 2 Feb.

Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Kes tersebut turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang memaklumkan pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan serta-merta Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PS) pemandu e-panggilan yang terlibat dalam insiden gangguan seksual terhadap penumpang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan