KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Masalah kecederaan yang membelenggu barisan pemain perseorangan lelaki negara sejak kebelakangan ini dilihat sedikit sebanyak menjejaskan prestasi mereka di pentas antarabangsa.
Bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan Wong Choong Hann berkata isu itu boleh diatasi melalui sesi pemulihan yang betul bagi memastikan prestasi pemain negara kekal pada tahap optimum.
Beliau yang kini merupakan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong menegaskan sekiranya pemain bebas daripada kecederaan, mereka berpeluang beraksi sepenuhnya membuktikan kemampuan sebenar di pentas kompetitif.
“Kecederaan yang dialami menyebabkan persembahan mereka kurang stabil. Namun, saya lihat ia hanya masalah sementara dan bukannya kerana kekurangan pemain perseorangan berkualiti seperti Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, malah kadang-kadang Leong Jun Hao juga turut terjejas akibat kecederaan.
“Proses pemulihan itu penting untuk menyiapkan mereka menghadapi cabaran akan datang, sama ada di Sukan Asia atau Sukan Olimpik,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Hong Kong (HKSI) di Bukit Jalil di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai prestasi dan perkembangan semasa kumpulan pemain perseorangan lelaki negara.
Pada masa sama, Choong Hann turut menekankan pemain muda seperti Justin Hoh perlu diberikan ruang dan masa mencukupi bagi mencapai keputusan positif.
Setakat ini, Jun Hao kekal sebagai pemain perseorangan lelaki terbaik negara dengan menduduki ranking ke-26 dunia, diikuti Justin (ke-39) manakala Zii Jia berada di kedudukan ke-63 dunia.
Terdahulu, Choong Hann merupakan antara delegasi HKSI yang hadir pada majlis menandatangani MoU itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial