KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway, hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, mencatat pembedahan tulang belakang robotik Suite Pembedahan Robotik Tulang Belakang AiBLE™ yang ke-100.
Menerusi kenyataan hari ini, SMC memaklumkan teknologi berkenaan yang dilancarkan pada Februari 2025 merupakan generasi baharu sokongan berpandukan robotik untuk pembedahan tulang belakang, yang memberikan ketepatan, konsistensi serta kecekapan.
Menurut hospital itu, pencapaian berkenaan membuktikan minat klinikal yang tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan SMC sebagai pengguna terawal AiBLE™ di Malaysia dan Asia Tenggara.
“Suite Pembedahan Robotik Tulang Belakang AiBLE™ digunakan untuk menyokong perancangan pembedahan serta navigasi semasa prosedur tulang belakang.
“Dengan penyelesaian tulang belakang bersepadu ini, pakar bedah dilengkapi dengan perancangan tiga dimensi yang terperinci sebelum pembedahan dan panduan masa nyata semasa prosedur,” menurut kenyataan itu.
SMC memaklumkan AiBLE juga direka untuk meningkatkan ketepatan penempatan implan, meminimum invasif, mengurangkan komplikasi intraoperatif dan selepas pembedahan serta mengurangkan pendedahan terhadap radiasi, di samping penggunaannya adalah sebahagian daripada inisiatif SMC untuk terus meningkatkan akses kepada penjagaan tulang belakang berkualiti bagi semua rakyat Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken menyifatkan pembedahan tulang belakang robotik ke-100 itu sebagai bukti kebolehan, kolaborasi dan kemajuan teknologi yang dicapai oleh pasukan pelbagai disiplin di Pusat Pembedahan Robotik dan Pembedahan Invasif Minimum hospital terbabit.
Beliau berkata AiBLE™ yang disepadukan dengan sistem pengimejan resonans magnetik (MRI) dan pengimbasan tomografi berkomputer (CT) terbaharu membantu SMC meningkatkan lagi kelengkapan yang tersedia untuk pakar klinikal dalam merawat kes tulang belakang yang kompleks.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen pasukan SMC dan kami akan memperkukuh asas tersebut demi meneruskan kemajuan inovasi, kecemerlangan klinikal serta kepuasan pesakit yang positif,” katanya.
Selaras dengan pencapaian itu, SMC baru-baru ini diiktiraf dalam ranking Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek, dengan disenaraikan di peringkat antarabangsa dan menduduki kedudukan teratas di Malaysia, satu pengiktirafan terhadap hospital yang menerajui penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengimejan digital serta robotik bagi meningkatkan penjagaan pesakit.
Baru-baru ini, hospital itu meraikan pencapaian tersebut dan mengetengahkan peranan teknologi dalam meningkatkan penjagaan pesakit.
SMC juga adalah hospital swasta pertama di Malaysia yang mencapai tiga akreditasi utama di peringkat hospital termasuk The Gold Seal of Approval Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) daripada Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Australia (ACHSI) serta Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).
-- BERNAMA
Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial