KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Perayaan Tahun Baharu Cina diharapkan membawa kesejahteraan, memperkukuh perpaduan dan mempertahankan semangat kebersamaan yang menjadi asas kemakmuran negara ini yang terkenal dengan kepelbagaian budaya.
Perkara itu dinyatakan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi hantaran di Facebook masing-masing hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap agar tahun ini membawa kebahagiaan, kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah serta kejayaan dalam setiap langkah yang diusahakan.
“Dalam kepelbagaian budaya yang kita miliki, inilah keindahan Malaysia yang sebenar, kita meraikan perbezaan dengan penuh hormat, berkongsi kegembiraan bersama dan terus melangkah sebagai satu keluarga besar yang bersatu hati.
“Semoga tahun baharu ini membawa lebih banyak harapan dan kesejahteraan buat negara yang kita cintai,” katanya yang turut mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikan perayaan itu.
Sementara itu, Fadillah juga berharap semoga tahun baharu ini membawa sinar kebahagiaan, kesihatan yang berpanjangan dan rezeki yang melimpah ruah kepada semua.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata rakyat Malaysia bertuah dapat menikmati hidup dalam suasana yang membolehkan semua saling belajar dan berkongsi nilai berikutan penduduk negara ini meliputi pelbagai kaum dan anutan agama.
“Justeru, amat penting untuk kita terus memupuk sikap toleransi dan saling menghormati, kerana di situlah terletaknya asas keharmonian dan kestabilan bersama.
“Marilah kita terus memelihara perpaduan, perkukuh keharmonian dan pertahankan semangat kebersamaan yang menjadi asas kemakmuran negara,” katanya yang berharap rakyat akan melangkah ke tahun baharu ini dengan hati yang bersatu, tekad yang kukuh dan semangat yang saling menguatkan antara satu sama lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial