PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA TINGGI PADA TENGAH HARI, DISOKONG OLEH LANGKAH RANGSANGAN CHINA

24/09/2024 02:12 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan sesi pagi dalam wilayah positif pada Selasa, sejajar dengan bursa serantau dan disokong oleh langkah rangsangan baharu oleh China, menurut penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.30 mata kepada 1,668.60 daripada 1,665.30 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.95 mata lebih tinggi kepada 1,667.25.

Bagaimanapun, lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 568 berbanding 429, manakala 452 kaunter tidak berubah, 1,056 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.11 bilion unit bernilai RM1.40 bilion.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pengurangan kadar faedah dan perbincangan mengenai dana sokongan untuk melonjakkan saham China telah menambah baik pasaran serantau.

Beliau merujuk kepada rancangan People's Bank of China (PBoC) untuk mengurangkan nisbah keperluan rizab sebanyak 0.5 mata peratusan bagi menyediakan mudah tunai jangka masa panjang berjumlah kira-kira satu trilion yuan (US$141.7 bilion) untuk pasaran kewangan.

“Bagaimanapun, sejauh mana kesan langkah itu terhadap ekonomi masih menjadi persoalan yang lebih besar.

“Bagi hari ini, pasaran sedang meningkat secara berterusan, memandangkan langkah itu dilihat akan menjadi lebih besar daripada jangkaan, berpotensi menggalakkan kalangan bank memberi pinjaman lebih banyak dan menurunkan kadar gadai janji untuk menyokong sektor hartanah,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank meningkat empat sen kepada RM10.74 dan Tenaga Nasional melonjak 22 sen kepada RM14.96.

Sementara itu, Public Bank dan CIMB masing-masing turun dua sen kepada RM4.68 dan RM8.32, manakala IHH Healthcare kurang satu sen kepada RM7.10.

Kaunter aktif, 99 Speed Mart Retail meningkat 15 sen kepada RM2.14, Globetronics Technology menokok satu sen kepada 70 sen, Sin-Kung Logistics naik setengah sen kepada 18.5 sen, dan APB Resources menambah 4.5 sen kepada 59.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 6.87 mata kepada 12,498.28, Indeks FBMT 100 kurang 3.80 mata kepada 12,193.74, Indeks FBM 70 merosot 109.72 mata kepada 17,753.66, dan Indeks FBM ACE menguncup 19.44 mata kepada 5,166.33.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Syariah naik 3.56 mata kepada 12,360.87.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.49 mata kepada 176.81, Indeks Perladangan naik 19.46 mata kepada 7,171.45, dan Indeks Tenaga menambah 0.15 mata kepada 871.40, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 2.42 mata kepada 19,701.26.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan