PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP TINGGI BERBANDING DOLAR AS, MELONJAK KE PARAS TERTINGGI DALAM 34 BULAN

24/09/2024 08:21 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ke paras tertinggi dalam 34 bulan, selepas China mengumumkan pakej rangsangan yang bertujuan mencergaskan kembali ekonominya.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada  4.1550/1605 berbanding dolar AS, naik berbanding 4.2000/2060 ketika ditutup pada Isnin, menandakan kenaikan tahun setakat ini sebanyak 10.49 peratus. Ini adalah paras tertinggi ringgit ketika ditutup sejak 11 Nov, 2021, pada paras 4.1525/1545 ketika itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata People’s Bank of China (PBOC) mengumumkan pelbagai langkah sokongan monetari, termasuk keperluan rizab bank dan penurunan kadar feadah, serta langkah untuk menyokong pasaran hartanah. 

"Pengumuman itu sedikit sebanyak mengurangkan kebimbangan terhadap ekonomi China berikutan ia bergelut untuk mencapai sasaran pertumbuhan lima peratusnya," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata pengumuman mengenai kadar inflasi Malaysia yang lebih rendah dari jangkaan semalam menunjukkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras semasanya untuk baki 2024 dan berpotensi ke 2025.

BNM menunjukkan langkah berhemat dalam dasar monetarinya, dengan kekal berwaspada terhadap risiko inflasi, katanya.

"Pendirian berhati-hati ini menyumbang kepada peningkatan keyakinan, seperti yang dilihat dalam peningkatan nilai ringgit berbanding dolar AS baru-baru ini," katanya.

Prestasi ringgit juga kukuh berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Ia naik berbanding euro kepada 4.6274/6335 daripada 4.6645/6712 pada Isnin, menokok berbanding pound Britain kepada 5.5590/5663 daripada 5.5805/5885 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8796/8836 daripada 2.9238/9282. 

Ia turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2244/2289 daripada 3.2503/2552 ketika ditutup pada Isnin dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.39/7.40 daripada 7.50/7.52.

Mata wang tempatan itu juga naik berbanding rupiah Indonesia kepada  273.5/274.0 daripada 276.1/276.7 dan menokok berbanding baht  Thai kepada 12.6426/6640 daripada 12.7203/7451.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan