PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI SUSULAN SENTIMEN POSITIF PASARAN SERANTAU

24/09/2024 07:52 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini susulan prestasi memberangsangkan saham global dan juga serantau yang dipengaruhi oleh prestasi positif di Wall Street semalaman dan pengumuman pakej rangsangan oleh China untuk merancakkan ekonominya. 

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.07 mata atau 0.30 peratus kepada 1,670.37. Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 1.95 mata kepada 1,667.25 dan diniagakan antara paras  1,665.51 dan 1,671.47 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 558 berbanding 549, manakala 508 kaunter tidak berubah, 890 tidak diniagakan dan 19 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.51 bilion unit bernilai RM3.10 bilion daripada 3.36 bilion unit bernilai RM3.1 bilion pada Isnin.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pakej rangsangan China dijangka membawa kesan limpahan kepada ekonomi serantau.

Beliau berkata saham Asia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua setengah tahun, didorong oleh kenaikan kukuh pasaran saham di China dan Hong Kong. 

"Indeks petunjuk pasaran tempatan menguji semula paras rintangan pada 1,670 dan kami percaya sekiranya paras ini dapat dilepasi akan membawa potensi peningkatan lebih tinggi.

“Jika pasaran melepasi paras 1,670 dan kekal bertahan, kami menjangkakan akan ada lagi kenaikan. Oleh itu, kami mengunjurkan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,660-1,680 bagi tempoh berbaki minggu ini,” katanya kepada Bernama. 

Ketua penyelidkan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pengurangan dalam nisbah keperluan rizab bank People’s Bank of China’s (PBOC) mengukuhkan lagi sentimen pasaran. 

Selain itu, inflasi Malaysia yang menurun ke paras terendah dalam tempoh empat bulan kepada 1.9 peratus pada Ogos turut merangsang persekitaran yang menggalakkan untuk saham pengguna dan industri.

"Inflasi yang lebih rendah meningkatkan kuasa beli pengguna, mendorong permintaan terhadap barangan tidak penting, manakala prospek ekonomi yang lebih kukuh meningkatkan prestasi saham industri," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata saham sektor pengangkutan dan logistik serta produk dan perkhidmatan pengguna, adalah antara yang mencatatkan prestasi tinggi, mendapat manfaat daripada pertumbuhan kukuh Indeks Pelopor (LI) dan penurunan inflasi.

. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), LI mencatatkan 5.2 peratus pada Julai 2024, mencecah 115.1 mata berbanding 109.4 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank naik empat sen kepada RM10.74, Tenaga Nasional melonjak 30 sen kepada RM15.04, Public Bank turun dua sen kepada RM4.68, CIMB Group susut lima sen kepada RM8.29 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.11.

Dalam kalangan kaunter cergas, 99 Speed ​​Mart Retail naik 17 sen kepada RM2.16, Globetronics Technology meningkat dua sen kepada 71 sen, AGX Group turun 4.5 sen kepada 53 sen, MY E.G. Services dan Cape EMS berkurangan satu sen masing-masing kepada 90 sen dan 35 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.91 mata kepada 12,522.06, Indeks FBM Emas Shariah menokok 32.02 mata kepada 12,389.33 dan Indeks FBMT 100 menambah 17.83 mata kepada 12,215.37.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 susut 45.74 mata kepada 17,817.64 dan Indeks FBM ACE turun 1.11 mata kepada 5,184.66.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 29.53 mata kepada 19,728.37, Indeks Tenaga naik 6.76 mata kepada 878.01 dan Indeks Perladangan menokok  26.09 mata kepada 7,178.08, namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.09 mata kepada 177.21.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 1.57 bilion unit bernilai RM2.79 bilion daripada 1.85 bilion unit bernilai RM2.95 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.58 bilion unit bernilai RM194.65 juta daripada 1.19 bilion unit bernilai RM131.30 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 364.94 juta unit bernilai RM119.39 juta daripada 320.38 juta unit bernilai RM87.01 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 299.32 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (278.85 juta), pembinaan (148.36 juta), teknologi (200.04 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (106.64 juta), hartanah (170.28 juta), perladangan (29.52 juta), REIT (14.61 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (106.60 juta), penjagaan kesihatan (74.85 juta), telekomunikasi dan media (39.16 juta), pengangkutan dan logistik (39.65 juta), utiliti (59.52 juta), dan amanah perniagaan (340,200).

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan