KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah selepas mencatatkan penurunan semalam dan disokong oleh petunjuk positif daripada Wall Street semalaman.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.78 mata atau 0.65 peratus kepada 1,513.60 daripada 1,503.82 semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 6.25 mata kepada 1,510.07 dan bergerak antara 1,509.40 dan 1,515.87 sepanjang hari.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 523 berbanding 392 manakala 416 kaunter tidak berubah, 1,105 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan naik kepada 3.12 bilion unit bernilai RM2.50 bilion daripada 3.01 bilion unit bernilai RM1.92 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup dalam julat positif, didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah selepas beberapa sesi dagangan yang kurang memberangsangkan.
“Pada amnya, pasaran Asia meningkat susulan petunjuk positif daripada Wall Street semalaman, didorong oleh spekulasi bahawa cadangan tarif daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk dilaksanakan pada 2 April akan menjadi kurang agresif daripada jangkaan awal.
“Di peringkat tempatan, kami kekal berhati-hati dalam masa terdekat berikutan turun naik pasaran yang dijangka kekal tinggi di peringkat global dan tempatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran saham China menyaksikan jualan hari ini terutamanya dalam saham berkaitan teknologi.
Bagaimanapun, katanya penurunan itu tidak mempengaruhi pasaran Malaysia berikutan jualan sebahagian besarnya dipacu oleh perubahan dalam pendekatan dasar monetari China.
“Bagi Malaysia, impak daripada perubahan dasar China kekal terhad buat masa ini. Pergerakan FBM KLCI hari ini menunjukkan tumpuan pelabur beralih kepada saham Malaysia, melihatnya sebagai alternatif yang lebih selamat dalam ketidaktentuan China.
“Saham permodalan besar dengan asas yang kukuh mendapat manfaat daripada sentimen ini dengan sektor perbankan, telekomunikasi dan pengguna antara kaunter paling untung hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 6.0 sen kepada RM10.22, CIMB Group naik 8.0 sen kepada RM7.00 dan Tenaga Nasional meningkat 4.0 sen kepada RM13.60.
Public Bank merosot 4.0 sen kepada RM4.44 dan IHH Healthcare susut 5.0 sen kepada RM6.90.
Dalam kalangan saham aktif, Wawasan Dengkil yang mula disenaraikan di Pasaran ACE susut 2.0 sen kepada 23 sen, Saudigold merosot setengah sen kepada 1.0 sen manakala Borneo Oil, EA Holdings dan Kinergy Advancement, masing-masing mendatar pada 1.0 sen, setengah sen dan 33 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 88.41 mata kepada 11,351.50, Indeks FBMT 100 meningkat 85.83 mata kepada 11,108.42, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 106.42 mata kepada 11,090.19, Indeks FBM 70 menambah 181.91 mata kepada 16,306.56 dan Indeks FBM ACE naik 3.29 mata kepada 4,745.80.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 69.71 mata kepada 18,423.77, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.27 mata kepada 153.32 dan Indeks Tenaga meningkat 7.48 mata kepada 754.58.
Sementara itu, Indeks Perladangan merosot 9.24 mata kepada 7,437.67.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.35 bilion unit bernilai RM2.18 bilion daripada 1.03 bilion unit bernilai RM1.53 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.41 bilion unit bernilai RM224.60 juta daripada 1.56 bilion unit bernilai RM263.35 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 349.96 juta unit bernilai RM101.92 juta daripada 409.06 juta unit bernilai RM118.37 juta semalam.
Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 239.66 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (253.92 juta), pembinaan (79.63 juta), teknologi (209.19 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (121.48 juta), hartanah (103.50 juta), perladangan (17.64 juta), REIT (8.41 juta), dana tertutup (205,200), tenaga (121.50 juta), penjagaan kesihatan (63.12 juta), telekomunikasi dan media (51.62 juta), pengangkutan dan logistik (29.87 juta), utiliti (51.86 juta) dan amanah perniagaan (36,600).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial