Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Ringgit kekal ditutup kukuh berbanding dolar AS hari ini di tengah-tengah kelemahan dolar AS susulan kenyataan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell yang membayangkan penurunan kadar faedah.
Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2305/2355 berbanding dolar AS.
Menurut laporan, Powell memberitahu satu persidangan bahawa pasaran pekerjaan AS mencatatkan prestasi lemah dan inflasi melebihi sasaran yang menyebabkan dilema dasar serta ketidaktentuan ekonomi.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan Powell itu juga telah mencetuskan jangkaan penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas masih lagi menjadi pilihan untuk dipertimbangkan.
"Kenyataan yang cenderung kepada penurunan kadar itu menjejaskan Indeks Dolar AS (DXY) yang turun sebanyak 0.21 peratus kepada 98.842 mata. Kenaikan DXY kebelakangan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penutupan operasi kerajaan AS yang menyebabkan pengumuman data-data utama tertangguh," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata ringgit mengekalkan jajaran kecilnya berbanding dolar AS, berlegar sekitar RM4.22 hingga RM4.23 semasa sesi dagangan.
Bagaimanapun ringgit menyusut berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.9213/9272 daripada 4.8879/8937 pada Selasa, turun berbanding pound Britain kepada 5.6469/6535 daripada 5.6118/6184 dan berkurangan berrbanding yen Jepun kepada 2.7948/7983 daripada 2.7808/7843.
Ringgit juga ditutup rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.9933/13.0151 daripada 12.8975/9182 pada Selasa, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2648/2689 daripada 3.2512/2553, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 255.2/255.6 daripada 254.8/255.2 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.29/7.30 daripada 7.26/7.27 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial