Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan minggu ini dengan dibuka tinggi didorong oleh sokongan belian terhadap saham wajaran tinggi terpilih dan pengukuhan ringgit berterusan dijangka menarik aliran masuk dana ke pasaran tempatan walaupun prestasi Wall Street bercampur-campur.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.47 mata atau 0.15 peratus kepada 1,621.60 daripada 1,619.13 semasa ditutup pada Jumaat lepas, selepas dibuka tinggi 2.40 mata kepada 1,621.53.
Pasaran secara menyeluruh positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 264 berbanding 215 dan 383 kaunter tidak berubah.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur berikutan jualan saham berkaitan AI yang berterusan.
“Berdasarkan sentimen pasaran yang kekal berhati-hati, kami menjangka pengukuhan ringgit yang berterusan akan menarik aliran masuk dana ke pasaran domestik.
“Kami menjangka indeks berada dalam julat 1,620 hingga 1,635 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam senarai paling aktif, Perak Transit meningkat 1.5 sen kepada 30.5 sen, Genting Malaysia dan Tanco, masing-masing mendatar pada RM2.34 dan 91 sen. Genetec Technology menambah 4.5 sen kepada 47.5 sen dan Dufu Technology naik enam sen kepada RM2.07.
Kaunter paling untung termasuklah Fraser & Neave meningkat 90 sen kepada RM28.50, Malaysian Pacific Industries naik 30 sen kepada RM30.38, Hong Leong Bank menambah 18 sen kepada RM20.92 dan Petronas Dagangan mengukuh 14 sen kepada RM22.60.
Kaunter paling rugi termasuklah Chin Teck Plantations merosot 28 sen kepada RM10.60, PIE Industrial berkurangan 20 sen kepada RM2.69, United Plantations menurun 14 sen kepada RM25.44 dan UMS susut 10 sen kepada RM4.76.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 merosot 16.82 mata kepada 11,778.38 dan Indeks FBM Emas berkurangan 19.79 mata kepada 12,018.10.
Indeks FBM Emas Shariah naik 41.23 mata kepada 12,089.56, Indeks FBM ACE meningkat 35.75 mata kepada 5,086.48 dan Indeks FBM Mid 70 menambah 43.95 mata kepada 16,970.79.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 24.25 mata kepada 8,127.33, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.07 mata kepada 168.47, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 59.94 mata kepada 18,397.18 manakala Indeks Tenaga merosot 1.38 mata kepada 765.08.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial