PASARAN > BERITA

AKTIVITI BELIAN SAHAM WAJARAN TINGGI PACU BURSA MALAYSIA MENINGKAT PADA TENGAH HARI

18/12/2025 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pagi Khamis dengan lebih tinggi, mengatasi prestasi pasaran serantau susulan kemunculan aktiviti belian bagi saham wajaran tinggi terpilih, terutama kaunter produk perindustrian, pengguna dan perkhidmatan.

Setakat jam 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.05 mata, atau 0.06 peratus kepada 1,642.49 daripada 1,641.44 pada akhir dagangan semalam.

Indeks itu sebelumnya dibuka susut 1.21 mata pada 1,640.23 dan bergerak antara 1,636.61 hingga 1,642.55 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 446 berbanding 395 manakala 514 kaunter tidak berubah, 1,421 tidak diniagakan dan 12 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.35 bilion unit bernilai RM982.89 juta.

Firma pembrokeran, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata aktiviti memperelok akaun pada akhir tahun juga dijangka menyuntik sokongan terhadap indeks utama itu dalam masa terdekat.

“Petunjuk teknikal menunjukkan wujudnya isyarat belian dengan Purata Pertumpuan-Pencapahan Pergerakan (MACD) dalam wilayah positif manakala Indeks Kekuatan Relatif (RSI) lebih daripada 50 yang mencerminkan momentum peningkatan.

“(Paras) rintangan pula dijangka sekitar 1,656 hingga 1,661 manakala sokongan pada 1,621 hingga 1,626,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Press Metal Aluminium meraih 11 sen kepada RM7, Sime Darby naik tujuh sen kepada RM2.05 dan Tenaga Nasional untung lapan sen kepada RM13.32 manakala Maybank dan Public Bank tidak berubah pada RM10.30 dan RM4.41.

Kaunter paling aktif menyaksikan Zetrix AI dan TWL masing-masing tidak berubah pada 80.5 sen dan 2.5 sen, Top Glove naik tiga sen kepada 68 sen dan V.S. Industry naik satu sen kepada 49 sen, manakala Tanco susut dua sen kepada RM1.13.

Selain itu kaunter paling untung adalah United Plantations yang melonjak 44 sen kepada RM29.44, Nestle naik 40 sen kepada RM114.20, PPB menokok 24 sen kepada RM10.30 dan Kuala Lumpur Kepong meraih 18 sen kepada RM19.54.

Sebaliknya kaunter dengan prestasi kerugian ketara adalah Malaysian Pacific Industries yang merosot 72 sen kepada RM31.68, Dutch Lady Milk turun 66 sen kepada RM30.04, IHH Healthcare berkurangan 19 sen kepada RM8.40, BLD Plantations menguncup 16 sen kepada RM16.04 dan Telekom Malaysia susut 15 sen kepada RM7.74.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 5.31 mata kepada 12,085.73, Indeks FBMT 100 menokok 3.85 mata kepada 11,877.97, Indeks FBM Emas Shariah meraih 14.57 mata kepada 11,935.71, Indeks FBM ACE susut 30.41 mata kepada 4,741.08 manakala Indeks FBM 70 turun 11.36 mata kepada 16,672.24.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.64 mata kepada 170.46, Indeks Perladangan menokok 37.65 mata kepada 8,207.96 namun Indeks Tenaga susut 3.54 mata kepada 765.83 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 32.0 mata kepada 19,144.22.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan