KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah dalam dagangan awal pada Isnin, seiring dengan pasaran serantau yang lemah selepas Wall Street mencatatkan penurunan berikutan harga minyak mentah Brent melonjak melebihi US$110 setong.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 17.17 mata atau 0.99 peratus kepada 1,695.48 daripada 1,712.65 dicatatkan pada Jumaat lepas.
Indeks utama dibuka rendah 10.57 mata kepada 1,702.08.
Sementara itu, Nikkei 225 Jepun menurun 1.41 peratus kepada 30,887.88, Indeks Straits Times Singapura merosot 0.47 peratus kepada 4,875.0, Indeks Komposit Kospi Korea berkurangan 4.20 peratus kepada 5,209.56 dan Indeks Komposit Bursa Saham Jakarta menyusut 0.94 peratus kepada 7,097.06
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 464 kaunter rugi mengatasi 160 kaunter untung manakala 267 kaunter tidak berubah, 1,851 tidak diniagakan dan 134 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 322.03 juta saham bernilai RM293.05 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Dow Jones Index merosot 1.73 peratus kepada 45,166.64, S&P 500 berkurangan 1.67 peratus kepada 6,368.85 dan Nasdaq menurun 2.15 peratus kepada 20,948.36.
Pasaran serantau menyaksikan tekanan jualan berterusan dalam saham teknologi terutamanya di Taiwan dan Korea Selatan berikutan pelabur mengambil pendekatan defensif dalam ketegangan berterusan di Asia Barat.
“Kami menjangka peralihan kepada saham lebih selamat dan berkaitan komoditi berikutan pelabur melindung nilai daripada cabaran luaran. Indeks dijangka diniagakan dalam julat 1,710 hingga 1,725 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare, masing-masing merosot 12 sen kepada RM11.34 dan RM8.93, Public Bank berkurangan tujuh sen kepada RM4.73, Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM14.14 dan CIMB menurun 15 sen kepada RM7.55.
Dalam senarai paling aktif, Sunway Healthcare berkurangan empat sen kepada RM2.33, Velesto Energy menambah satu sen kepada 34 sen, AirAsia X menurun lima sen kepada RM1.11, Hibiscus Petroleum meningkat sembilan sen kepada RM2.31 serta Capital A dan VS Industry, masing-masing merosot 1.5 sen kepada 40 sen dan 22 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Press Metal meningkat 43 sen kepada RM8.04, Allianz naik 14 sen kepada RM20.90, Bimoffice menambah 13 sen kepada 28 sen, Sunway Construction menokok 12 sen kepada RM7.02 dan Petron naik 11 sen kepada RM4.74.
Bagi kaunter paling rugi, Nestle merosot 94 sen kepada RM98.12, Malaysian Pacific berkurangan 38 sen kepada RM28.62, Hong Leong Industries menurun 22 sen kepada RM16.48, PPB menyusut 18 sen kepada RM11.32 dan Teck Guan Perdana merosot 16 sen kepada RM1.91.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 berkurangan 119.28 mata kepada 12,218.22, Indeks FBM Emas menurun 118.62 mata kepada 12,346.64 dan Indeks FBM ACE merosot 57.88 mata kepada 4,269.57.
Indeks FBM 70 jatuh 147.96 mata kepada 16,950.82 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 85.39 mata kepada 12,186.80.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 255.78 mata kepada 20,071.71 dan Indeks Perladangan berkurangan 2.14 mata kepada 8,702.82 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 2.02 mata kepada 184.91 dan Indeks Tenaga menambah 8.24 mata kepada 806.53.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial